
KUALA LUMPUR – Sentul merupakan antara enam daerah di ibu negara yang menyumbang kepada jumlah jenayah indeks berdasarkan statistik semasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jenayah indeks melibatkan jenayah kekerasan (rogol, bunuh dan samun) serta jenayah harta benda (curi kenderaan dan pecah rumah).
“Sentul ini antara enam daerah di Kuala Lumpur yang menyumbang kepada penjumlahan jenayah indeks di Kuala Lumpur. Ia berbeza dengan daerah-daerah lain kerana di Sentul lebih padat dengan penduduk dan rumah kediaman.
“Walaubagaimanapun, jenayah kekerasan, harta benda ini antara yang pasti. Selagi bertambah penduduk, akan ada jenayah kekerasan dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.
Menurut Fadil, Polis Kuala Lumpur akan terus memberi tumpuan kepada semua kategori jenayah termasuk isu yang semakin membimbangkan masyarakat seperti jenayah siber serta penyalahgunaan dadah.
Dalam pada itu, Fadil berkata, isu trafik turut menjadi fokus utama Polis Kuala Lumpur susulan keadaan lalu lintas yang kritikal di ibu negara.
“Kita akan lebih agresif dan fokus kepada semua indeks jenayah. Kita sama-sama cuba menghasilkan yang terbaik untuk Kuala Lumpur,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul baharu menggantikan Superintendan Jasni Zolpa.
Fadil berharap, pengalaman, komitmen dan kecekapan Anuar Bakri dapat membantu meneruskan kecemerlangan IPD Sentul serta memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu terus diperkukuh. – KOSMO! ONLINE
The post Sentul antara penyumbang jenayah indeks di Kuala Lumpur appeared first on Kosmo Online.






