
JOHOR BAHRU – Keputusan mahkamah yang memutuskan pihak kilang, dua pengarah dan pemandu lori bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 melegakan keluarga mangsa, namun masih meninggalkan rasa terkilan.
Bapa kepada mangsa, Irfan Wafiy Idham Wazir, 19, Idham Wazir A Wahab, 56, berkata, selepas hampir tujuh tahun menanti, keputusan itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, dia kecewa kerana pihak berkuasa yang mempunyai kuasa dalam menjaga kelestarian alam sekitar tidak turut dipertanggungjawabkan dalam kes berkenaan.
“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun akhirnya kes ini selesai. Namun, saya terkilan kerana pihak yang mempunyai kuasa tidak dipertanggungjawabkan. Pada saya, sepatutnya mereka juga mempunyai tanggungjawab dari aspek kecuaian dalam menjaga kelestarian dan alam sekitar di kawasan Pasir Gudang,” katanya.
Menurut Idham, kesan pencemaran itu masih dirasai anaknya sehingga kini walaupun keadaan kesihatan Irfan Wafiy semakin baik berbanding ketika kejadian.
Katanya, anaknya yang kini sudah tamat pengajian peringkat asasi Sains di Universiti Malaya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan menjadi doktor.
“Irfan Wafiy sekarang sudah besar dan akan sambung belajar. Dia berminat untuk menjadi doktor dan mengambil bidang perubatan. Walaupun sudah tidak menggunakan tongkat seperti dahulu, dia masih mengalami sakit pada kaki dan tidak boleh bersukan seperti biasa,” katanya.
Tragedi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 menggemparkan negara apabila lebih 2,000 orang terjejas kesihatan, manakala 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.
Insiden itu turut menyaksikan 947 mangsa mendapatkan rawatan, dengan sembilan daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam perkembangan kes sivil berkenaan, pada 17 Julai 2023, pihak mangsa berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn. Bhd. untuk mengetepikan saman sivil yang difailkan pada 2019.
Keputusan terbaharu mahkamah itu sekali gus mengakhiri penantian panjang mangsa dan keluarga yang menuntut keadilan susulan tragedi pencemaran berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Menang saman, keluarga mangsa Sungai Kim Kim masih terkilan appeared first on Kosmo Online.




