
Saudara Pengarang
Ada satu perkara menarik perhatian apabila melihat gelagat sesetengah rakyat Malaysia yang dikenakan saman oleh polis Thailand.
Walaupun baru sahaja menerima saman, masih mampu tersenyum, ketawa, malah bergambar bersama anggota polis seolah-olah baru menerima hadiah atau kenangan manis ketika bercuti.
Wajah yang terpampang pula begitu tenang, langsung tidak kelihatan kecewa.
Tetapi cuba situasi itu berlaku di Malaysia. Baru nampak anggota polis mengeluarkan buku saman, wajah terus berubah.
Ada yang mula merungut, tidak puas hati, mempertikaikan kesalahan dan menganggap saman itu sebagai satu bentuk tekanan. Senyum pun susah, apatah lagi hendak bergambar bersama anggota yang baru sahaja mengeluarkan saman.
Persoalannya, mengapa sikap kita boleh begitu berbeza?
Apabila berada di negara orang, kita seolah-olah lebih mudah menerima tindakan penguatkuasaan kerana sedar kita adalah tetamu, namun apabila dikenakan tindakan oleh penguat kuasa sendiri di tanah air, tiba-tiba banyak alasan muncul.
Sedangkan peraturan tetap peraturan, tidak kira di Thailand, Malaysia atau mana-mana negara sekalipun.
Jangan sampai kita hanya pandai menunjukkan sikap positif apabila berada di luar negara, tetapi berubah wajah apabila berdepan polis Malaysia.
PEMERHATI
Shah Alam, Selangor
The post Luahan Pembaca: Kena saman di Thailand senyum, di Malaysia merungut appeared first on Kosmo Digital.






