
KULIM - Seorang bekas juruteknik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di kediaman mereka di Taman Tiram, 14 September lalu.
G Vikneswaran, 43, mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Vikneswaran, yang mempunyai seorang anak lelaki, didakwa menyebabkan kematian isterinya, S Sila, 39, antara jam 6.30 petang hingga 9.04 malam di kediaman mereka.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya S Preeyaa mengendalikan pendakwaan, manakala Vikneswaran tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan analisis kimia.
Sebelum ini, media melaporkan Sila meninggal dunia selepas ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya di kediaman mereka.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati perasaan cemburu dipercayai menjadi motif kejadian.
Beliau berkata Vikneswaran kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Lunas, sebelum mengaku menikam isterinya dan menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - Getaran, 21 September 2026






