
SANDAKAN: Dua lelaki berhadapan detik cemas apabila Perodua Axia yang mereka naiki dihempap pokok semasa melalui jalan berdekatan Jalan Sabah Hotel, di sini, Isnin.
Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala, bawah mata kanan serta luka kecil di kedua-dua belah tangan akibat terkena serpihan kaca dalam insiden itu.
Seorang lagi mangsa lelaki yang berada di kenderaan sama turut trauma akibat terkejut dengan insiden berkenaan.
Kedua-dua mangsa berusia 58 dan 24 tahun itu juga diberikan rawatan awal oleh petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan bagi rawatan lanjut.
Susulan kejadian, laluan kedua-dua arah juga tidak dapat dilalui sementara kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang itu.
Terdahulu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt. (PA) Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.46 petang kemudian ke lokasi bagi bantuan berkaitan.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata balai itu segera melakukan kerja-kerja memotong pokok dengan tujuh anggotanya bersama APM, polis dan yang lain selepas menerima panggilan kecemasan jam 8.09 malam.
Operasi tamat pada jam 9.58 malam.
Sementara itu, beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah ini susulan hujan dan keadaan cuaca semasa.


