
SUNGAI PETANI, 6 NOV: Seorang lelaki maut manakala seorang parah selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sebelum terjatuh dan digilis sebuah treler di Kilometer 96.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku pada 12.20 tengah malam dan Mohd Khairul A'zami Mohd Nazeri disahkan maut di lokasi manakala Muhammad Adib Zamri, kedua-duanya berusia 23 tahun, cedera parah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati dua mangsa itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Alor Setar menghala Sungai Petani berada di lorong kiri dan cuba berhenti untuk berteduh di bawah jejambat kerana hujan.
“Ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain yang turut berhenti di bawah jejambat itu, dua motosikal terbabit bergesel sesama sendiri sebelum terkena bahagian sisi sebuah treler di lorong sama.
“Akibat kejadian itu, dua penunggang terjatuh ke bawah bahagian tengah treler sebelum digilis dan diseret,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Muhammad Adib dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan proses bedah siasat ke atas Mohd Khairul A'zami juga akan dilakukan di hospital sama.
Hanyan berkata pemandu treler berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencingnya didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA






