Mungkin Sukan Asia terakhir Sharul Aimy

12 Aug 2026 • 6:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mungkin Sukan Asia terakhir Sharul Aimy

KUALA LUMPUR – Gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy bersedia mempertaruhkan segala-galanya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mengakui temasya kali ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia.

Biarpun dibelenggu kecederaan koyakan meniskus yang hanya diketahui selepas pulang daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Sharul tetap bertekad meneruskan perjuangan kerana sedar peluang beraksi pada temasya empat tahun sekali itu mungkin tidak datang lagi.

“Lebih kurang sama seperti Sukan Komanwel kerana dua minggu sebelum temasya itu pun saya tidak boleh berlari dan beraksi dengan baik. Tetapi kita tahu temasya ini hanya berlangsung empat tahun sekali, jadi saya memang tidak mahu melepaskan peluang.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku empat tahun lagi. Mungkin ini Sukan Asia terakhir saya kerana ketika itu ramai gimnas junior yang akan meningkat naik. Jadi, sekarang saya akan berikan segala-galanya yang saya ada,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia 2026, hari ini.

Situasi itu turut memaksa Sharul mengubah sasaran asalnya daripada memburu pingat kepada sekurang-kurangnya melayakkan diri ke pentas final, namun masih belum menutup pintu untuk meningkatkan tahap kesukaran rutin sekiranya tahap kecergasannya bertambah baik dalam tempoh sebulan ini.

“Sebelum ini memang saya sasarkan pingat, tetapi selepas mendapat keputusan mengenai kecederaan ini, kalau dapat masuk final pun saya rasa sudah okay. Kita masih ada sebulan lagi, jadi kalau sempat tingkatkan rutin, saya akan lakukannya. Kalau tidak, kita lihat apa yang mampu saya lakukan,” katanya.

Sharul Aimy mendedahkan dia mula merasakan masalah tersebut selepas Kejuaraan Asia, namun memilih untuk menangguhkan pemeriksaan sehingga selesai Sukan Komanwel bagi mengelakkan keadaan itu menjejaskan mentalnya sebelum bertanding di Glasgow.

Selepas menjalani pemeriksaan, dia disahkan mengalami koyakan meniskus dan kini menjalani rawatan suntikan plasma platelet (PRP), selain terpaksa memulakan semula proses pemulihan tanpa menjalani latihan berintensiti tinggi.

“Sekarang saya sudah mengambil suntikan PRP dan memulakan semula pemulihan dari awal. Doktor memaklumkan kalau selepas Sukan Asia saya masih tidak dapat beraksi dengan baik, mungkin saya perlu menjalani pembedahan untuk kali kelima. Memang sangat kecewa apabila mendengarnya, tetapi itulah kehidupan seorang gimnas,” jelasnya.

Mengakui persaingan di Aichi-Nagoya dijangka lebih getir dengan cabaran gimnas Jepun, China, Korea Selatan dan Filipina, Sharul Aimy kini hanya mahu memastikan tubuhnya kembali cergas serta bebas daripada kecederaan tambahan sebelum turun memberikan segala yang termampu di Jepun. KOSMO! ONLINE

The post Mungkin Sukan Asia terakhir Sharul Aimy appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved