Sepang Kembali Dalam Kalendar F1, Bakal Anjur GP Bahrain Oktober Nanti 

27 Jul 2026 • 12:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sepang Kembali Dalam Kalendar F1, Bakal Anjur GP Bahrain Oktober Nanti 

SEPANG - Malaysia bakal kembali sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) disahkan akan menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan F1, dengan perlumbaan berkenaan dijadual berlangsung antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar Kejuaraan Dunia F1 musim 2026.

Menurut F1, penganjuran perlumbaan itu adalah hasil kerjasama antara pihaknya, FIA serta kerajaan Bahrain dan Malaysia bagi memastikan GP Bahrain terus kekal dalam kalendar kejuaraan dunia.

Bagaimanapun, penganjuran tersebut masih tertakluk kepada usaha memuktamadkan perjanjian serta kelulusan rasmi, termasuk pengesahan daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).

Kembalinya F1 ke Sepang merupakan satu detik penting buat arena sukan permotoran negara selepas kali terakhir litar berkenaan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada 2017.

Sejak mula menjadi sebahagian daripada kalendar F1 pada 1999, Litar Antarabangsa Sepang dikenali sebagai antara litar paling mencabar dalam sukan itu, dengan selekoh teknikal, cuaca tropika yang sukar diramal serta sokongan padu peminat.

Maklumat lanjut mengenai jualan tiket bagi perlumbaan tersebut akan diumumkan kemudian.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem berkata, kepulangan F1 ke Sepang membuktikan kejayaan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan dalam sukan itu serta kerajaan yang terlibat.

Beliau berkata, FIA, Formula One Management dan rakan strategik di Bahrain telah berusaha mencari penyelesaian terbaik sambil memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pasukan, pegawai, sukarelawan serta peminat sentiasa menjadi keutamaan.

“Malaysia mempunyai hubungan yang cukup istimewa dalam sejarah F1 dan kemasukan semula Sepang ke dalam kalendar perlumbaan membuktikan hubungan erat FIA dengan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

“Ia juga bukti komitmen berterusan Kerajaan Malaysia serta kerjasama antarabangsa dalam pembangunan sukan permotoran,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata, persetujuan itu membuktikan keupayaan F1 menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi tanpa menjejaskan kalendar perlumbaan yang lengkap dan menarik untuk peminat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa; Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa; Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; serta kerajaan kedua-dua negara atas sokongan dalam merealisasikan penganjuran tersebut.

“Kepulangan F1 ke Sepang merupakan berita menggembirakan buat peminat di seluruh dunia kerana Malaysia merupakan destinasi istimewa dalam sejarah F1,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa berkata, penganjuran Grand Prix Bahrain di Sepang mencerminkan hubungan erat dan persaudaraan antara Bahrain dan Malaysia.

Beliau berkata, dengan perkenan Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong, selain kerjasama rapat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bahrain berbangga dapat menganjurkan F1 Gulf Air Bahrain GP di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

Katanya, perlumbaan itu dijangka memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada peminat di seluruh dunia, selain membuktikan komitmen berterusan Bahrain terhadap F1.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada F1, FIA, Litar Antarabangsa Bahrain, Litar Antarabangsa Sepang serta semua pasukan yang terlibat dalam menjayakan penganjuran perlumbaan berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berbesar hati dapat bekerjasama dengan Bahrain, F1 dan FIA bagi menganjurkan Grand Prix Bahrain di Sepang.

Beliau berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar melibatkan penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah melambangkan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.

Menurutnya, penganjuran itu turut membuktikan kesiapsiagaan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara antarabangsa menerusi kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan mesra kepada pasukan, pegawai dan peminat dari seluruh dunia.

Kali terakhir Sepang menganjurkan perlumbaan F1 adalah pada 2017, yang menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen muncul juara GP Malaysia. 

Perlumbaan tahun ini adalah yang pertama selepas sembilan tahun. - Getaran, 27 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved