Penjenayah serang polis dengan parang mati ditembak

3 Aug 2026 • 7:28 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penjenayah serang polis dengan parang mati ditembak

LARUT, 3 OGOS: Polis menembak mati seorang penjenayah yang cuba menetak anggota polis dalam kejadian di sebuah pondok dusun buah-buahan di Kampung Klian Gunung Ijok, Batu Kurau dekat sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki tempatan berusia 39 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian mencederakan dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada 23 Jun lepas.

Beliau berkata susulan daripada kejadian itu, pihaknya berjaya mengesan suspek yang juga penagih dadah yang bersembunyi di sebuah pondok hasil maklumat orang awam pada 8.20 pagi semalam.

“Apabila sampai di pondok berkenaan, pihak polis cuba menghampiri suspek untuk membuat tangkapan namun suspek terus bangun dan mengambil sebilah parang lalu cuba menyerang dan menetak sehingga mengancam keselamatan pihak polis.

“Bagi mempertahankan diri daripada ancaman itu, polis melepaskan satu das tembakan pada bahagian kaki sehingga menyebabkan paha kanan dan kiri suspek cedera,” katanya pada sidang media di IPD Selama di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata suspek yang rebah cuba melawan semasa ditangkap sehingga berlaku pergelutan sebelum parang yang dipegang suspek berjaya dirampas.

Beliau bagaimanapun berkata suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian pada 9.20 pagi.

“Bedah siasat ke atas suspek masih dijalankan oleh pakar patologi Hospital Taiping dan keputusannya belum diperoleh,” katanya, sambil menambah suspek yang hanya bekerja kampung mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Sebelum ini, Mohd Alwi dilaporkan berkata dua anggota polis cedera selepas bergelut dengan seorang lelaki dipercayai penagih dadah dalam satu kejadian di Kampung Sungai Jernih, Ijok dekat Selama pada 23 Jun lepas.

Mohd Alwi berkata dalam kejadian itu, dua pegawai polis berpangkat sarjan berusia 44 tahun dan konstabel berumur 27 tahun mengalami kecederaan akibat bergelut dengan suspek.

Mohd Alwi ketika ditanya mengenai keadaan anggota polis berkenaan berkata kedua-duanya telah keluar dari hospital selepas menerima rawatan dan kembali bertugas sejak seminggu lepas.

-- BERNAMA

TAG: polis, Mohd Alwi Zainal Abidin, penjenayah, maut, tembak, Selama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved