
IPOH – Seramai 11 lelaki tempatan ditahan polis berkaitan kes serangan terhadap seorang individu sehingga mangsa mengalami kecederaan parah di Taman Pengkalan Jaya, di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa iaitu seorang lelaki berbangsa India berumur 26 tahun, semasa berada di kandang lembu miliknya telah didatangi lima lelaki menaiki dua buah kereta.
“Suspek kemudiannya telah mengejar dan menyerang mangsa. Dia yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kinta telah ditetak menggunakan senjata parang oleh salah seorang suspek.
“Ia menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan, kaki dan belakang badan. Mangsa telah dibantu oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan dendam dan tidak puas hati oleh kumpulan jenayah terancang terhadap mangsa.
Mohd. Alwi berkata, pihak polis memandang serius kejadian itu dan telah membuat tangkapan terhadap 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua yang ditangkap berumur antara 22 tahun hingga 41 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah kekerasan.
“Kesemua tangkapan telah direman bagi membantu siasatan berkait kes serangan ini serta penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki parah ditetak: 11 individu ditahan appeared first on Kosmo Digital.





