
IPOH: Polis menahan 11 lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki parah ditetak dalam kejadian di Taman Pengkalan Jaya, di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan selepas siasatan dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi pada 1 September lalu ketika mangsa berusia 26 tahun berada di kandang lembu miliknya.
“Ketika berada di lokasi, mangsa didatangi sekumpulan lima lelaki yang menaiki dua kereta sebelum mereka mengejar dan menyerangnya.
“Mangsa yang cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Kinta bagaimanapun ditetak menggunakan senjata parang oleh seorang daripada suspek,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, akibat serangan itu mangsa mengalami kecederaan parah pada muka, tangan, kaki dan belakang badan sebelum dibantu orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan dendam dan rasa tidak puas hati kumpulan terbabit terhadap mangsa.
“Polis memandang serius kejadian ini dan telah membuat tangkapan terhadap 11 lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah kekerasan,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan berhubung serangan itu selain menyiasat penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat,” katanya. – UTUSAN
The post Polis tahan 11 lelaki bantu siasatan kes tetak di Ipoh appeared first on Utusan Malaysia.






