Serbuan PATI: Salur maklumat kepada JIM, jangan sebar menerusi media sosial

29 Oct 2026 • 7:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Serbuan PATI: Salur maklumat kepada JIM, jangan sebar menerusi media sosial

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sulit kepada pihak berkuasa dan tidak mendedahkannya di media sosial sehingga menjejaskan operasi penguatkuasaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakari Shaaban berkata, tindakan menghebahkan lokasi berkenaan secara terbuka boleh menyebabkan pihak yang disasarkan melarikan diri sebelum operasi dijalankan, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya, orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dengan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bukannya menjadikan pendedahan itu sebagai bahan untuk meraih populariti.

“Kalau boleh, ada maklumat, salur secara senyap-senyap kepada kami untuk kita ambil tindakan.

“Jangan buat hebahan, viral, kadang-kadang kita pergi dah tak ada. Jadi, tindakan kita tidak boleh laksanakan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan tanpa henti selagi perkara yang dilaporkan berada dalam bidang kuasa jabatan itu.

Zakaria berkata, tindakan akan diambil berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber, termasuk media, tanpa mengira lokasi atau bentuk kesalahan yang dikesan.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan merangkumi pelbagai aspek termasuk penempatan warga asing, kegiatan sindiket penipuan dalam talian serta aktiviti perniagaan yang berada di bawah bidang kuasa JIM.

Beliau berkata, jumlah operasi dan tangkapan yang dilaksanakan tahun ini juga menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Katanya, operasi akan diteruskan secara berterusan dan tiada pihak boleh menganggap penguatkuasaan JIM terhenti pada satu-satu masa atau lokasi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi yang sedang menjadi sasaran operasi bagi mengelakkan maklumat itu diketahui pihak yang terbabit.

“Kalau maklum sahaja, esok dah tak ada. Sebab itu kita seru kepada masyarakat, kalau ada maklumat, salurkan kepada Jabatan Imigresen untuk kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau menegaskan seruan itu ditujukan kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya NGO, supaya kerjasama dengan pihak berkuasa dapat membantu memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan. – UTUSAN

The post Serbuan PATI: Salur maklumat kepada JIM, jangan sebar menerusi media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved