Usia helikopter bukan penentu keselamatan – CAAM

10 Sep 2026 • 1:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Usia helikopter bukan penentu keselamatan – CAAM

KUALA LUMPUR – Usia sesebuah pesawat tidak boleh dijadikan ukuran mutlak tahap keselamatannya selagi ia diselenggara dengan baik dan memenuhi semua keperluan kelayakan udara yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, ia susulan kebimbangan orang ramai mengenai usia helikopter BO105 milik Layang Layang Aerospace yang terbabit dalam nahas di Sarawak baru-baru ini.

“Dari perspektif kelayakan udara, usia semata-mata bukan faktor penentu selagi pesawat diselenggara dengan baik mengikut program penyelenggaraan diluluskan.

“Pesawat juga perlu terus memenuhi semua keperluan kelayakan udara yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS’26) di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut Norazman, berdasarkan rekod CAAM, Sijil Kelayakan Udara pesawat yang terbabit nahas mengorbankan lima mangsa termasuk seorang doktor masih sah sehingga 4 Ogos 2027, manakala sijil pendaftarannya sah sehingga 28 Julai 2029.

Katanya, susulan nahas itu, Layang Layang Aerospace mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung operasi semua pesawat BO105 milik syarikat tersebut.

Selain itu, penggantungan turut melibatkan pesawat lain dalam armada syarikat tersebut yang menggunakan enjin siri Rolls-Royce 250.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tindakan itu merupakan sebahagian langkah keselamatan secara berjaga-jaga dan tidak boleh dianggap sebagai petunjuk bahawa enjin atau komponen tertentu menjadi punca kemalangan udara tersebut.

“Pada peringkat ini, terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal, cuaca, faktor manusia atau faktor-faktor lain,” katanya.

Dalam pada itu, CAAM sedang memantau proses penggantungan dan pemeriksaan armada oleh pengendali selain mengesahkan semua rekod kawal selia berkaitan pesawat, pengendali serta juruterbang.

Siasatan berhubung nahas berkenaan dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan dengan CAAM memberi kerjasama penuh termasuk menyediakan semua rekod berkaitan.

Norazman berkata, sebarang dapatan muktamad berhubung punca nahas hanya boleh ditentukan AAIB selepas semua bukti diperiksa secara menyeluruh. – KOSMO! ONLINE

The post Usia helikopter bukan penentu keselamatan – CAAM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved