Seruan Anwar supaya ‘otai lama’ kembali bukan untuk kami – Rafizi

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 9:34 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Seruan Anwar supaya ‘otai lama’ kembali bukan untuk kami – Rafizi

MELAKA: Seruan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ‘otai-otai’ lama kembali kepada perjuangan parti itu mungkin bukan ditujukan kepada Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi yang juga pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkata, seruan tersebut mungkin merujuk kepada kumpulan bekas pemimpin PKR lain, antaranya Tian Chua dan Dr. Xavier Jayakumar.

Katanya, ia mungkin turut merangkumi sebahagian bekas pemimpin yang pernah bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Saya muda lagi, jadi tak masuk dalam kategori itu. Saya tak tengoklah ucapan itu. Saya pun tak boleh nak baca niat dia sama ada bila dia sebut otai-otai itu, adakah dia merujuk kepada saya dan Nik Nazmi.

“Ataupun saya lebih cenderung merasakan dia merujuk kepada kumpulan-kumpulan seperti Tian Chua, Dr. Xavier dan sebahagian daripada kumpulan yang bersama-sama dengan Datuk Seri Azmin Ali dulu, bukan kami,” katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Calon Bersama bagi PRN Melaka di sini semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Anwar menyeru bekas pemimpin dan aktivis lama parti itu supaya kembali kepada perjuangan PKR ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan parti tersebut.

Mengulas mengenai proses pemilihan calon Bersama bagi PRN Melaka, Rafizi berkata, proses itu sebenarnya telah bermula sejak PRN Johor apabila sistem permohonan calon dibuka kepada mereka yang berminat.

Katanya, parti itu mempunyai senarai pemohon bagi kerusi di seluruh negara dan proses menyenarai pendek calon Melaka telah dilakukan sebelum PRN Johor berakhir.

“Calon yang disenarai pendek kemudiannya melalui proses penelitian latar belakang, temu duga serta latihan sebelum diumumkan secara rasmi.

“Mereka telah mula dilatih sebagai calon sejak seminggu yang lepas. Mereka telah melalui latihan undang-undang dan latihan pengucapan.

“Mereka juga telah melalui taklimat-taklimat mengenai kempen politik. Jadi proses untuk memilih calon itu tidak lama sebab kita memang sudah tahu lebih awal dan semuanya ada sistem,” katanya.

Rafizi berkata, pengumuman calon lebih awal berbanding PRN Johor bertujuan memberi ruang lebih panjang kepada mereka untuk turun ke kawasan dan memperkenalkan diri kepada pengundi.

“Bezanya berbanding dengan Johor, bila kita umum lebih awal macam ini, ia akan beri lebih banyak ruang untuk mereka berkempen dan memperkenalkan diri kepada pengundi,” katanya. – UTUSAN

The post Seruan Anwar supaya ‘otai lama’ kembali bukan untuk kami – Rafizi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved