KDM bukan komponen GRS: Armizan

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 10:47 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

KDM bukan komponen GRS: Armizan

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri adalah berdasarkan sokongan Adun tunggalnya kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu, Adun Paginatan Datuk Rusdin Riman, memberikan sokongan kepada Hajiji untuk meneruskan kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, sokongan itu menjadikan KDM sebahagian daripada kerajaan Sabah, namun tidak bermakna parti berkenaan menjadi anggota komponen GRS.

“Pasca PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November lalu, Parti KDM melalui Adun tunggalnya memberikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah,” katanya.

Beliau mengulas tindakan KDM yang bertindak menarik sokongan terhadap GRS pada Sabtu, yang diumumkan oleh Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter.

Apabila dihubungi, Rusdin berkata beliau tidak tahu mengenai keputusan tersebut.

Rusdin berkata beliau memerlukan masa untuk berbincang lanjut perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan. Di bawah Undang-undang Anti Lompat Parti, Rusdin masih boleh menyokong Kerajaan GRS tanpa keluar daripada KDM.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata beliau turut menghubungi Rusdin susulan pengumuman tersebut.

Menurutnya, Rusdin menjelaskan komitmennya kekal kepada khidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi membolehkan agenda pembangunan diteruskan.

“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan Adun-Adun kerajaan pagi tadi (Sabtu) di Kota Kinabalu,” katanya.

Sebelum ini, KDM mengumumkan parti itu telah memutuskan untuk bergerak di luar kerajaan GRS sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang semasa sidang media sempena Majlis Amanat dan Hala Tuju Parti KDM Menjelang PRU16, di sini.

Priscella berkata keputusan dibuat sebulat suara sebelah mengambil kira kepentingan parti dan usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.

Selain Rusdin, KDM mempunyai seorang Ahli Parlimen (Kota Marudu) iaitu Datuk Wetrom Bahanda yang juga Timbalan Presiden parti. Bagaimanapun, terdapat desas-desus Wetrom akan menyertai semula Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya parlimen akan datang.

Pada PRN Sabah ke-17 November lalu, KDM bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dun, bagaimanapun parti itu hanya memenangi satu kerusi, iaitu Paginatan yang kini diwakili Rusdin. Pada pilihan raya umum 2022, KDM bertanding tujuh kerusi parlimen tetapi hanya menang satu.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony dibebaskan secara parol dari Penjara Kajang pada Mac tahun ini selepas menjalani hukuman penjara kerana menipu.

Terdahulu, Priscella berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi parti pada mesyuarat tahunannya, Sabtu, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Hari ini kita telah mengadakan perjumpaan tahunan parti KDM untuk menentukan hala tuju parti kita. Kita juga telah membuat beberapa keputusan dalam ucapan saya sebentar tadi.

“Apa yang penting ialah bagi persediaan menghadapi PRU akan datang, parti KDM bersama-sama Majlis Tertinggi telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam kerajaan GRS,” katanya dalam sidang akhbar.

Mengulas lanjut, Priscella berkata, keputusan untuk tidak lagi berada dalam kerajaan GRS bukan sesuatu yang mudah, namun penting bagi menunjukkan hala tuju KDM kepada rakyat, khususnya akar umbi parti.

Katanya, perkembangan selepas pilihan raya lalu dipercayai memberi kesan kepada sokongan akar umbi, justeru KDM mahu mengambil tindakan lebih awal bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Keputusan ini sememangnya berat, tetapi apa yang penting bagi kita ialah kita dapat menunjukkan kepada rakyat dan akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju untuk mereka.

“Apa yang berlaku selepas pilihan raya yang lalu, saya fikir sudah tentu memberi kesan kepada akar umbi kita,” katanya.

Priscella berkata, langkah itu juga bagi membuktikan KDM tidak hanya bertindak ketika pilihan raya atau selepas Parlimen dibubarkan, sebaliknya mahu melakukan persiapan lebih awal dengan kembali mendekati akar umbi.

Priscella berkata KDM juga berkemungkinan mengadakan perbincangan dengan parti-parti tempatan bagi membentuk jajaran baharu menerusi Blok Borneo.

Katanya, KDM tidak akan bertanding secara bersendirian pada PRU akan datang, sebaliknya mahu meneroka kerjasama dengan parti tempatan bagi memastikan suara Sabah dan kepentingan generasi akan datang terus diberi perhatian.

“Berhubung Borneo Block, kita mahu generasi kita, khususnya saya sebagai pemimpin muda yang mengetuai parti ini, mempunyai suara untuk masa depan yang lebih baik bagi rakyat Sabah dan generasi akan datang.”Ditanya mengenai parti tempatan yang berkemungkinan terlibat dalam jajaran baharu itu, Priscella tidak menolak kemungkinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menjadi rakan kerjasama KDM.

Katanya, perkara itu bukan keputusan peribadi beliau, sebaliknya perlu dibincangkan bersama Majlis Tertinggi KDM.

Priscella turut berkata KDM masih belum menerima sebarang surat atau pemberitahuan rasmi daripada Wetrom berhubung kedudukannya dalam parti.

Beliau berkata Wetrom kekal sebagai timbalan presiden parti buat masa ini, walaupun terdapat spekulasi bahawa beliau akan menyertai semula Barisan Nasional (BN).

“Itu perkara biasa dalam politik. Tetapi apa pun, acara yang dihadiri Wetrom ialah Pesta Rungus yang berkaitan dengan kebudayaan. Beliau juga daripada komuniti Rungus, jadi saya tidak fikir ada masalah dengan perkara itu,” katanya, merujuk kepada acara yang menyaksikan beliau bertemu Pengerusi BN Datuk Zahid Hamidi.

Wetrom tidak hadir pada mesyuarat KDM tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved