‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’

8 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’

RASANYA ketika ini ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan detik bersejarah penyatuan dua jiwa figura terkenal iaitu penyanyi juga pelakon Bella Astillah bersama cinta hatinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Muar.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, pasangan merpati dua sejoli itu akan dinikahkan pada tanggal 10 Oktober 2026. Pasangan sama cantik sama padan ini terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Menyedari satu Malaysia mendoakan hubungan mereka dibawa sehingga ke jenjang pelamin, pasangan yang mendapat julukan sebagai BASS itu mengumumkan dua majlis resepsi bertemakan kenduri rakyat khusus untuk rakyat Malaysia yang akan berlangsung di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Januari.

Lumrah menjadi bakal pengantin, debaran pasti dirasai tambahan pula hari bahagia semakin dekat. Namun tidak buat Saddiq.

Menurut Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, perasaannya ketika ini lebih kepada tidak sabar untuk menghalalkan hubungannya dengan Bella.

“Berdebar itu tidak. Tetapi sejujurnya saya tak sabar nak menghalalkan hubungan kami. Tak sabar nak kongsikan hari bahagia kami bersama semua termasuklah keluarga dan sahabat andai.

“Saya selalu kongsikan kepada bakal isteri saya, kebahagiaan perlu dikongsikan kepada semua kerana tanpa doa, sokongan dan dorongan orang ramai, mungkin hari ini (perkahwinan) tidak akan terjadi. Setiap orang ada saham dalam menjayakan perkahwinan kami,” katanya.

Image from: ‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’
TIDAK eksklusif untuk orang tertentu, Syed Saddiq dan Bella berasakan gelaran wedding of the year adalah milik semua pasangan yang berkahwin.

Bakal dihadiri ribuan rakyat, Saddiq yang terkenal dengan sifat pemurahnya membantu golongan memerlukan turut membuat kelainan apabila menyediakan buah tangan berupa bantuan makanan seperti beras, santan dan roti untuk 10,000 tetamu terawal yang datang di kedua-dua lokasi resepsi perkahwinannya.

“Kita akan sumbangkan semasa kenduri, ada puluhan ribu kilogram beras, santan, roti dan banyak lagi. Apabila namanya ‘kenduri rakyat’, kita juga akan adakan acara merewang. Orang kampung dijemput untuk memasak bersama-sama.

“Tak guna jika kami mendapat perhatian, tetapi perhatian itu tidak dikongsikan kepada semua,” kongsinya.

Selain mendapat sokongan daripada beberapa penaja, Saddiq dan Bella juga bekerja keras sebelum hari perkahwinan mereka untuk memastikan segalanya mencukupi apabila majlis perkahwinan mereka berlangsung nanti.

“Kami berdua masih bekerja biarpun hari pernikahan sudah hampir. Banyak kerja tambahan yang perlu kami buat supaya semuanya cukup menjelang pernikahan.

“Bella masih ada ‘show’. Saya pula sibuk di parlimen. Sehari sebelum hari pernikahan kami pula ada pembentangan Belanjawan 2027. Saya tak mahu culas tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen hanya kerana sibuk dengan persiapan kahwin.

“Kalau orang lain mungkin persiapan perkahwinan mereka mengambil masa selama setahun. Tetapi kami cuma ada lebih kurang dua bulan sahaja.

“Kami sedaya upaya memberikan yang terbaik agar dapat meraikan hari bahagia bersama rakyat,” jelasnya.

Image from: ‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’
DIBERI jolokan wedding of the year, kisah cinta dan setiap inci pra dan pasca perkahwinan Bella dan Saddiq akan dapat disaksikan dalam program khas Astro bertajuk Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddid. – Syakir Radin

‘Wedding of the year’

Melihatkan persiapan perkahwinan dengan tiga majlis resepsi ramai melabelkan perkahwinan mereka sebagai wedding of the year. Namun Bella dan Saddiq, bukan tujuan mereka untuk bermegah dan mengejar gelaran tersebut.

“Saya rasa tak layak pun untuk dapat gelaran wedding of the year. Majlis perkahwinan kami bukan untuk dimegahkan. Saya cuma berharap majlis nanti dipermudahkan. Itu jauh lebih penting,” kata Bella.

Kenyataan Bella disokong tunangnya yang menyifatkan setiap perkahwinan adalah wedding of the year bagi setiap pasangan yang berkahwin.

Mana-mana pasangan yang cuba untuk menghalalkan hubungan mereka, itu adalah wedding of the year. Bukan untuk kami sahaja.

“Tidak adillah untuk pasangan lain yang berjaya menghalalkan hubungan mereka. Itu adalah hari paling istimewa dalam hidup mereka. Sebab itulah pasangan pengantin digelar sebagai raja sehari,” jelasnya.

Program khas Astro

Perjalanan kisah cinta pasangan ini akan dipaparkan dalam sebuah rancangan khas terbitan Astro iaitu Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang akan bersiaran selama beberapa episod sehinggalah tahun hadapan.

Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq akan memulakan tayangan episod pertamanya pada 6 Oktober. Untuk episod pertama, pasangan itu akan menceritakan lebih lanjut bagaimana mereka mula berkenalan buat pertama kali.

Menurut Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, program khas tersebut sudah dirancang sejak tahun lalu.

“Satu penghormatan apabila diberi kepercayaan mengabadikan perjalanan istimewa ini dan membolehkan seluruh Malaysia
menyaksikan detik-detik tersebut secara eksklusif di Astro.

“Program ini akan berlanjutan sehingga tahun hadapan. Kita akan paparkan kehidupan mereka selepas sah bergelar sebagai pasangan suami isteri.

“Lebih istimewa kita juga akan terbitkan episod khas sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu kata Bella, awalnya dia mempunyai rasa takut dan ragu-ragu untuk terlibat dalam program sebegitu kerana bimbang penerimaan khalayak.

“Saya ada hubungan baik dengan Astro. Saya juga berkhidmat sebagai penyampai radio Era. Awalnya saya rasa takut juga bila kehidupan akan jadi tatapan umum.

“Tetapi bila pihak produksi terangkan apa yang akan dipaparkan setiap episod saya rasa ini adalah kolaborasi yang sesuai. Sebelum ini memang saya dan tunang selalu buat sesi ‘live’ dalam media sosial.

“Dari situ ramai yang selalu bertanya tentang kisah cinta kami. Saya nak cerita, tetapi risau jika cara penyampaian saya mungkin lain, begitu juga dengan penerimaan orang.

Image from: ‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’
MAJLIS kahwin secara besar-besaran dan kemudian terikat komitmen untuk beberapa program Astro sehingga tahun depan, Bella mulanya ragu-ragu memikirkan penerimaan khalayak.

“Jadi menerusi program ini, mereka boleh tahu dengan lebih mendalam. Kalau lihat sedutan program, kelihatan agak ‘fun’. Saya pun tak sabar tonton,” jelasnya.

Ditanya penerimaan dua anaknya, Ayden dan Ara, kata Bella permata-permata hatinya itu teruja dan tak sabar menanti hari bahagia mereka disatukan sebagai sebuah keluarga.

“Mereka asyik tanya bila saya nak kahwin. Mereka yang tak sabar. Ayden kata ustazah di sekolah pun dah tanya. Saya syukur kerana anak-anak saya gembira,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Bella meluahkan kesyukuran kerana diberikan peluang untuk bergelar seorang isteri buat kali kedua.

“Saya sangat bersyukur dipertemukan jodoh sekali lagi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan saya. Semoga perjalanan ini akan diberkati,” luahnya.
Saddiq berasa bertuah kerana bukan sahaja bakal berkahwin dengan wanita yang kuat dan rajin, tetapi bakal menjadi bapa kepada dua orang anak yang baik dan bijak.

“Saya ni betul-betul bernasib baik kerana bukan sahaja mendapat bakal isteri yang baik, kuat bekerja dan rajin, tetapi juga mendapat dua anak yang luar biasa,” katanya.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi sensasi dari Singapura, Aliff Aziz pada tahun 2016. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila berdepan pelbagai ujian dan bercerai buat kali kedua pada Jun 2024.

 

 

 

 

The post ‘Setiap orang ada saham jayakan perkahwinan kami’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved