Sewa kenderaan kepada warga asing, insurans boleh ‘batal’

LocalCars
3 Oct 2026 • 9:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sewa kenderaan kepada warga asing, insurans boleh ‘batal’

PUTRAJAYA – Tindakan rakyat tempatan menyewakan kenderaan kepada warga asing akan menyebabkan urusan tuntutan insurans akan mengalami masalah besar sekiranya berlaku kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan pihak terlibat terpaksa menanggung sendiri kerugian atau kos berkaitan, tertakluk kepada terma dan syarat polisi insurans berkenaan.

“Justeru, pemilik kenderaan warga tempatan tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan atau menyewakan kenderaan kepada individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan netizen yang mendedahkan ramai komuniti Rohingya memandu tanpa lesen di kawasan kampung, Aedy berkata, perkara itu berada dalam radar JPJ.

“JPJ sememangnya mengesan kes pemanduan tanpa lesen sah melibatkan warga asing termasuk Rohingya menerusi operasi dan risikan yang dilaksanakan.

“Bagaimanapun, JPJ tidak bergantung kepada dakwaan atau persepsi di media sosial semata-mata tetapi turut berdasarkan risikan, pemantauan serta hasil pengesanan anggota di lapangan.

“Data keseluruhan Ops PeWA menunjukkan sebanyak 8,001 kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang mana telah direkodkan bagi tempoh 2024 hingga 2026,” katanya.

Susulan itu, jelasnya, JPJ akan terus memperluaskan operasi di kawasan perumahan, kampung, kawasan perindustrian dan lokasi aktiviti ekonomi yang dikenal pasti melalui risikan.

“Mana-mana individu yang gagal memenuhi syarat pelesenan ditetapkan adalah tidak dibenarkan memandu dan JPJ tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang dikesan melanggar undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu, peguambela dan peguamcara, Muhammad Amin Abdullah berkata, isu ini perlu dilihat bukan sahaja daripada sudut tuntutan insurans, tetapi melibatkan elemen tanggungjawab undang-undang pemilik kenderaan.

“Jika seseorang pemilik kenderaan dengan sengaja menyewakan atau membenarkan kenderaannya dipandu individu tidak mempunyai lesen memandu sah, pemilik tersebut berpotensi melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Peruntukan itu bukan hanya melarang seseorang daripada memandu tanpa lesen, tetapi turut melarang seseorang membenarkan orang lain memandu tanpa lesen yang sah,” katanya kepada Kosmo!

Daripada sudut tuntutan insurans pula, katanya, pelanggaran syarat polisi boleh menimbulkan isu berhubung perlindungan dan tuntutan, bergantung kepada jenis polisi, terma polisi serta fakta kemalangan.

“Namun, ia tidak semestinya bermaksud mangsa kemalangan secara automatik hilang segala hak untuk mendapat pampasan,” katanya.

Katanya, tindakan pemilik kenderaan membenarkan keretanya dipandu warga asing yang tidak mempunyai lesen sah juga akan mengundang perkar lebih serius jika berlaku kemalangan.

“Pemilik kenderaan tidak semestinya secara automatik bertanggungjawab atas kematian hanya kerana dia merupakan pemilik kenderaan.

“Tetapi jika terdapat bukti bahawa pemilik dengan pengetahuan telah menyerahkan atau membenarkan kenderaan digunakan oleh seseorang tidak mempunyai lesen sah, tindakan terhadap pemilik boleh dikenakan bagi kesalahan berkaitan pemberian kebenaran tersebut,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya, ia juga bergantung kepada fakta khusus kes bagi menentukan sama ada pemilik kenderaan boleh dipertanggungjawabkan bagi kesalahan berkaitan kematian mangsa.

“Ia termasuk apa yang diketahui oleh pemilik, tahap pengetahuannya mengenai kelayakan pemandu, keadaan ketika kenderaan diserahkan dan hubungan sebab-akibat antara perbuatan atau kecuaian tersebut dengan kemalangan,” katanya.

 

 

The post Sewa kenderaan kepada warga asing, insurans boleh ‘batal’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved