
Kota Kinabalu: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat krisis air berpanjangan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambil menyifatkan situasi itu sebagai “memalukan negara.”
Krisis kekurangan air menyebabkan lebih 23,000 pelajar dan kakitangan di universiti awam terbabit berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas selama beberapa hari, memaksa mereka beratur membawa baldi untuk mandi dan membeli air botol demi meneruskan pembelajaran.
“Krisis air yang berpanjangan di UMS ini bukan lagi sekadar isu tempatan, tetapi sudah menjadi sesuatu yang memalukan negara,” kata Shafie dalam kenyataan di sini, Khamis.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Apabila pelajar di sebuah universiti awam terkemuka terpaksa hidup tanpa bekalan air bersih untuk minum, memasak dan mandi selama beberapa hari, ini mencerminkan kegagalan dalam tadbir urus dan perancangan serta tidak ada sebarang rasa belas kasihan,” katanya.
Universiti itu bergantung kepada tangki R13 yang turut menyalurkan bekalan air ke Hospital Likas dan zon komersial berhampiran. Apabila paras air turun di bawah 0.5 meter, keseluruhan sistem gagal berfungsi.
Walaupun banyak laporan dan surat telah dihantar kepada Jabatan Air Sabah, Shafie mendakwa tiada tindakan rasmi diambil setakat ini.
Memburukkan lagi kontroversi itu, Jabatan terbabit secara terbuka mendakwa bekalan air adalah mencukupi, namun kenyataan itu kemudian disangkal sendiri oleh Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansur.
“Ini menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalaman jabatan itu,” kata Shafie.
Beliau mengkritik Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan menyatakan bahawa hampir lima tahun berlalu sejak mereka mengambil alih kuasa tetapi masih tiada kemajuan ketara dalam menyelesaikan krisis air.
“Sekiranya perancangan rapi dan telus benar-benar dilaksanakan, tidak mungkin pelajar perlu menghadapi masalah kekurangan air pada 2025. Sudah tentu bukan di dewan kuliah, bukan di asrama, dan bukan di Sabah,” katanya.
Shafie turut menggesa ketelusan dalam menyiasat kontraktor dan syarikat konsesi air yang bertanggungjawab di kawasan itu, termasuk mempersoalkan rekod prestasi mereka serta sama ada kontrak diberikan secara telus.
“Saya dengan itu menggesa SPRM untuk menyiasat siapakah kontraktor atau konsesi air di kawasan ini. Apakah rekod prestasi mereka? Adakah kontrak dianugerahkan secara telus? Wujudkah unsur penyelewengan atau kelemahan pengurusan?
“Jika kerajaan Sabah tiada apa yang hendak disembunyikan, maka seharusnya tiada masalah untuk menyambut baik siasatan oleh SPRM,” tambahnya.
Krisis air ini juga telah mencetuskan protes dalam kalangan pelajar, dengan ramai yang terpaksa mencari tempat tinggal alternatif sementara mereka berdepan kekurangan keperluan asas.
“Tidak hairanlah pelajar mula bersuara dan buat protes kerana mereka mahukan maruah dan hak asasi manusia mereka dihormati. Air bukan permainan politik. Ia adalah hak asasi manusia,” katanya.
