
PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon, Shahrol Shiro mengumumkan dilantik sebagai tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bagi Semester I sesi 2026/2027.
Shahrol, 42, atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi menyambut baik tawaran mengajar untuk kursus seni lakon di Fakulti Pengajian Sains Citra universiti awam terbabit.
“Saya menyambut baik tawaran UKM sebagai salah seorang tenaga pengajar kursus citra universiti sesi 2026/2027.
“Komedi memerlukan keberanian serta keyakinan inidividu berdiri di atas pentas yang diadun bersama kemahiran komunikasi yang sangat baik.
“Kemahiran ini sangat diperlukan hari ini yang menjadi asas dalam menyampaikan mesej memandangkan waktu fokus generasi hari ini sangat singkat,” coretnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam muat naik berkenaan, juara Raja Lawak musim ke-6 itu turut menyertakan perkongsian surat tawaran daripada UKM seraya menyatakan keterujaan untuk memulakan kuliah.
Menjengah komen netizen di gelanggang media sosial, rata-rata netizen berbangga dengan pencapaian Shahrol bergelar tenaga pengajar di UKM yang merupakan antara universiti terkemuka tanah air.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kelayakan akademik anak seni kelahiran Kluang, Johor itu.
“Pelajar ijazah menganga tengok pelawak politik tua macam kau (Shahrol) dapat jadi pensyarah.
“Kalian cuba semak kelayakan nak mengajar kursus citra di UKM. Tiadalah (janganlah) asyik menghentam sahaja,” demikian antara komen netizen.
Untuk rekod, Shahrol merupakan pelawak, pelakon dan penyampai radio yang turut dikenali kerana penglibatannya dalam politik tanah air yang pernah menyertai UMNO dan aktif dalam gerakan politik di Johor, termasuk dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti politik terbabit.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Shahrol tampil sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Kahang, Kluang. Bagaimanapun, dia tewas kepada calon lain dalam pertandingan kerusi tersebut. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post Shahrol Shiro dilantik tenaga pengajar Kursus Citra UKM appeared first on Kosmo Online.






