
KUALA LUMPUR – Sheraton Kota Kinabalu (Sheraton KK) yang baru dibuka secara rasmi pada akhir Disember tahun lalu mengunjurkan kadar penginapan sekitar 60 hingga 70 peratus disokong oleh perkembangan yang baik dalam industri pelancongan di Sabah yang dipacu oleh segmen korporat dan juga percutian keluarga.
Pengurus Besarnya, Nauman Hassan berkata, daripada aspek pasaran utama hotel tersebut menerima tetamu daripada pasaran domestik manakala bakinya daripada pasaran antarabangsa seperti Korea Selatan, China dan Singapura.
Menurut beliau, Kota Kinabalu kini menjadi antara destinasi unik yang diminati pelancong asing dan tempatan kerana ia terkenal dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya yang pelbagai dan reputasinya sebagai destinasi makanan laut segar yang menawarkan pengalaman gastronomi unik kepada para pengunjung.

“Melalui lokasi hotel di kawasan yang strategik, kemudahan bertaraf antarabangsa dan kekuatan jenama Sheraton, Sheraton Kota Kinabalu mampu menarik minat pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam satu temubual pada sesi pengenalan pembukaan hotel di sini baru-baru ini.
Hassan menjelaskan, industri perhotelan di Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang positif yang mana faktor perkembangannya disokong oleh peningkatan kesalinghubungan udara, inisiatif promosi pelancongan termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dan minat yang semakin meningkat terhadap pengalaman pelancongan yang autentik.
“Kota Kinabalu khususnya terkenal dengan akses mudah ke pulau-pulau yang indah di Taman Tunku Abdul Rahman, aktiviti menyelam dan snorkeling bertaraf dunia serta hidangan
makanan laut segar yang menjadi antara tarikan utama destinasi ini,” ujarnya.
Sheraton Kota Kinabalu yang terletak di Jalan Albert Kwok di pusat bandar Kota Kinabalu, adalah hotel tertinggi di Borneo yang menawarkan pemandangan Laut China Selatan serta Gunung Kinabalu.

Ia memiliki 307 bilik dan suite yang direka dengan konsep kontemporari.
Antara kemudahan yang ditawarkan adalah Sheraton Club Lounge, kolam renang infiniti, tiga outlet makanan dan minuman iaitu Daily Social, More by Sheraton dan The Burger Box serta Cloud 23 Sky Bar (rooftop bar), terdapat juga dewan besar berkeluasan 703 meter persegi dan juga Wedding Pavilion yang terletak di aras rooftop.
Mengulas mengenai inisiatif ESG, Hassan menerangkan, hotel berkenaan memberi tumpuan terhadap agenda kelestarian dan sentiasa berusaha menambah baik operasi harian selaras dengan prinsip yang ditetapkan.
“Antaranya adalah penggunaan dispenser syampu dan sabun mandian yang boleh diisi semula di dalam bilik tetamu bagi mengurangkan pembaziran,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Sheraton Kota Kinabalu sasar kadar penginapan 70 peratus appeared first on Kosmo Digital.






