
KUALA LUMPUR – Jika pada waktu siang tiga mercu tanda ikonik ibu negara masih dapat dilihat, menjelang malam pemandangan itu berubah apabila hanya Menara Berkembar Petronas (KLCC) kelihatan meskipun dalam keadaan samar akibat jerebu.
Perubahan ketara itu dapat dilihat menerusi rakaman pemandangan dari Tasik Titiwangsa, di sini, malam ini yang memperlihatkan keadaan jerebu semakin menjejaskan jarak penglihatan di ibu negara.
Tinjauan Kosmo! pada sebelah pagi hari ini, tiga mercu tanda utama Kuala Lumpur iaitu KLCC, Menara Kuala Lumpur dan bangunan Tun Razak Exchange (TRX) masih dapat dilihat dari lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, pandangan semakin kabur menjelang pukul 6 petang tadi dan kemudiannya menjadi lebih teruk apabila hanya KLCC yang masih kelihatan dalam keadaan samar, manakala Menara Kuala Lumpur dan TRX seolah-olah ‘hilang’ daripada pandangan akibat keadaan atmosfera yang berjerebu.
Di Threads, ramai turut berkongsi situasi jerebu di kawasan masing-masing terutama di sekitar Lembah Klang.
“Kalau ikut bacaan data APIMS (Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia) Jabatan Alam Sekitar (JAS).. bacaan bawah 200, tapi mustahil bawah 200 tapi pemandangan betul-betul kelabu dari pagi dan makin teruk sampai malam,” kata @hetriickkz.
“Serius, apa yang telah dan sedang dilakukan oleh pemerintah atau kerajaan negara penyumbang jerebu ini? Makin teruk jerebu sekarang! Kami dah tak nak dengar alasan lagi. Semua sakit kerana jerebu. Jangan sampai dah hilang nyawa baru nak ambil tindakan, melampau,” kata @azizihjaziz.
Pengguna tersebut turut memuat naik rakaman pemandangan yang dirakamn sekitar Sentul, di sini diselubungi jerebu pada pukul 6.28 petang tadi.
Berdasarkan data terkini yang dilaporkan pada petang ini, sebanyak 30 stesen pemantauan mencatatkan bacaan IPU di antara 101 hingga 200 pada tahap tidak sihat setakat pukul 8.24 malam. – KOSMO! ONLINE
The post Siang ada 3, malam tinggal 1…itu pun samar appeared first on Kosmo Online.






