Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Suasana di Dewan Rakyat pada Isnin bertukar hangat apabila tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor meninggalkan kerusi Speaker untuk turun berbahas sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands mengenai Belanjawan 2027 mengundang bantahan daripada beberapa wakil rakyat.
Situasi yang dianggap luar biasa itu mula dipersoalkan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN – Beluran) yang mempertikaikan bagaimana Datuk Ramli boleh mengambil bahagian dalam perbahasan sedangkan beliau masih memegang peranan sebagai Timbalan Yang Dipertua pada waktu tersebut.
Artikel berkaitan : Netanyahu Rasmi Hilang Majoriti Parlimen Dalam Pilihan Raya Israel
Artikel berkaitan : Arkib Negara Kumpul 3.22 Juta Fail Sejarah, Pindaan Akta Arkib Negara Dijangka Dibentang Di Parlimen 2027
Tak langgar peraturan – Datuk Ramli Mohd Nor

Menurut Ronald, kerusi Speaker sama sekali tidak boleh dibiarkan kosong ketika persidangan sedang berjalan dan sepatutnya perlu ada individu yang dilantik sementara bagi mengendalikan urusan Dewan.
“Kerusi Speaker tidak boleh dikosongkan. Boleh lantik sementara untuk duduk di sana. Mesti ada orang di kerusi Speaker.”
“Kalau Speaker tidak ada, Dewan boleh melantik sesiapa sahaja untuk berada di sana semasa ahli Parlimen berbahas. Ini unprecedented (belum pernah berlaku),” katanya.
Bagaimanapun, Ramli tampil mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan bahawa beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun memilih untuk mengambil tempat sebagai Ahli Parlimen bagi membahaskan Belanjawan 2027.
Tegasnya, semakan telah pun dibuat sebelum beliau berbuat demikian dan mendapati tiada sebarang peraturan mesyuarat yang menghalangnya untuk berucap dari kerusi wakil rakyat.
“Saya sudah menyemak peraturan dan tiada peraturan yang tidak membenarkan saya untuk bercakap di kerusi ahli Parlimen.”
“Kalau Yang Berhormat memikirkan peraturan tidak membenarkan, saya persilakan Yang Berhormat usulkan di dalam Dewan,” ujarnya.
View on Threads
MP luah rasa kesal
Melihat kejadian tersebut, Datuk Ngeh Koo Ham (PH – Beruas) yang meluahkan rasa kesal kerana menganggap tindakan tersebut tidak mematuhi tertib serta peraturan perjalanan persidangan Parlimen.
Jelasnya, peraturan mesyuarat menetapkan bahawa setiap persidangan wajib dikendalikan oleh seorang Yang Dipertua atau pengerusi bagi memantau dan memastikan segala peraturan Dewan dipatuhi.

“Saya merakamkan rasa sedih bagaimana Parlimen dihina dan peraturan atur cara Parlimen tidak diikuti.”
“Dalam peraturan kita, tersirat dalam mana-mana persidangan mesti ada seorang Yang Dipertua atau pengerusi kerana beliau yang menetapkan semua peraturan diikuti.”
“Kalau Speaker berucap dan menjadi pembahas, siapa yang menentukan beliau mengikuti peraturan dalam Dewan?”
Dalam pada itu, Koo Ham turut menyuarakan kebimbangan sekiranya insiden sebegini akan menjejaskan tahap penghormatan masyarakat terhadap institusi Parlimen.
“Semua ahli Parlimen bertanggungjawab memastikan martabat Parlimen terus dipelihara dan tidak menjadi bahan ejekan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” tegasnya.
Sumber : Sinar Harian, Threads
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

![[VIDEO] Timbalan Speaker ‘pindah kerusi’ jarang berlaku!](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-16-at-2.58.02-PM-1024x681.jpeg)




