Tiada ugutan, panggilan bom susulan bagasi misteri di ICQS

8 Aug 2026 • 4:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiada ugutan, panggilan bom susulan bagasi misteri di ICQS

KUALA NERANG – Polis tidak menerima sebarang ugutan atau panggilan bom susulan penemuan bagasi tanpa pemilik di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) perlu diambil selepas bagasi tersebut ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

“Tiada ugutan atau panggilan bom diterima. Cuma apabila bagasi ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan, kita perlu ambil tindakan mengikut SOP.

“Kita juga akan cuba mengenal pasti siapa pemilik bagasi tersebut dan sebab ia ditinggalkan di situ,” katanya ketika ditemui pada Program Peluncuran Taman Angkat Amanita Polis Diraja Malaysia Kedah di pekarangan Masjid Raudatul Jannah di sini hari ini.

Katanya, kewujudan bagasi itu disedari orang awam kira-kira pukul 7 pagi sebelum dimaklumkan kepada petugas agensi berkaitan dan diimbas menggunakan mesin pengimbas kastam.

Menurut beliau, imbasan tersebut mengesan imej yang dipercayai sebagai bahan letupan dan dadah menyebabkan pihaknya tidak mengambil risiko untuk membuka bagasi berkenaan.

Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Kedah digerakkan ke lokasi untuk melakukan penilaian risiko sebelum proses meneutralkan bagasi dilakukan dan Kompleks ICQS ditutup sementara selama dua jam.

Adzli berkata, pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan dalam bagasi berkenaan.

“Bunyi dua letupan yang didengar orang awam adalah daripada proses neutralisasi dilakukan UPB,” ujarnya. 

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kawalan sempadan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya tahap keselamatan di semua pintu masuk negara dipertingkatkan.

“Di Bukit Kayu Hitam, kita sentiasa mempunyai kerjasama yang baik dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dan berdasarkan statistik, kita melihat berlaku penurunan dalam aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Di Langkawi, sudah masuk bulan ketiga tidak berlaku pencerobohan migran melalui laluan sebelum ini, namun sindiket mengubah modus operandi dengan menggunakan bot-bot kecil terus ke Kuala Kedah.

“Kita sentiasa kenal pasti modus operandi sindiket dan akan terus memperketatkan kawalan sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada ugutan, panggilan bom susulan bagasi misteri di ICQS appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved