KLANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak takut menyiasat sebarang pelanggaran tatakelola membabitkan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tanpa mengira siapa yang terbabit.
Beliau berkata, sebarang keraguan mengenai pengurusan atau keputusan membabitkan institusi itu perlu diteliti dan disiasat bagi memastikan aset negara terus dilindungi.
"Kalau ada pelanggaran tatakelola siasat," katanya semasa menjawab soalan daripada salah seorang mahasiswa ketika Sesi Temu Anwar pada Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini, Khamis.
Anwar berkata, tindakan menyiasat tidak seharusnya dilihat sebagai usaha membongkar kesalahan pihak terdahulu atas kepentingan politik, sebaliknya bagi memastikan sebarang masalah yang berlaku sebelum ini tidak terus membebankan negara.
Beliau berkata, prinsip itu penting dalam memastikan anak syarikat Khazanah diurus dengan cekap, telus dan berintegriti, selain menjadi institusi yang mampu menjaga kepentingan serta aset strategik negara.
Anwar menegaskan, usaha memperkukuh tatakelola anak syarikat Khazanah bukan soal kepentingan parti politik, sebaliknya amanah terhadap rakyat yang perlu dipelihara.
"Ini bukan soal parti, tetapi soal satu institusi yang perlu dipelihara,” katanya.
Katanya, beliau mahu institusi berkaitan kerajaan diurus dengan baik sehingga mampu menjadi kebanggaan negara dan membuktikan aset rakyat boleh diurus secara beramanah.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, sebarang tindakan susulan berkaitan kemungkinan salah laku perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan institusi yang mempunyai bidang kuasa, mengikut proses undang-undang.
"Sebarang keputusan membabitkan aset negara perlu dibuat secara bertanggungjawab, telus dan berlandaskan tatakelola yang kukuh," tambah beliau.






