Siasat menyeluruh projek tanam semula sawit Felda Palong 7

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 8:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siasat menyeluruh projek tanam semula sawit Felda Palong 7

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pen­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menjalankan sia­satan menyeluruh terhadap pelaksanaan program pemba­ngunan dan tanam semula sawit di tanah rancangan Felda Palong 7, Jempol termasuk di peringkat pengurusan dan pelaksana di lapangan.

Wakil generasi baharu pene­roka Felda Palong 7, Mohd. Syahrizal Md. Yusuf berkata, siasatan perlu meliputi setiap peringkat pengurusan, penge­lolaan dan pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan segala kerja yang dilaksanakan menepati ­spesifikasi serta peruntukan yang ditetapkan.

Menurutnya, program tanam semula itu membabitkan kira-kira 450 peneroka dengan kawasan seluas lebih 1,800 hektar, melibatkan pertukaran tanaman getah kepada sawit yang disifatkan amat penting terhadap ke­terjaminan sumber pendapatan dan masa depan peneroka.

Beliau mendakwa, Felda me­lantik anak syarikatnya, Felda Plantation Management (FPM), untuk menguruskan pembangunan tanam semula sebelum kontrak diberikan kepada kontraktor yang berkelayakan.

Namun katanya, terdapat kerja yang didakwa tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Pertama, saya meminta pihak SPRM dapat menyiasat setiap inci dan setiap perkara yang telah saya adukan dalam laporan, daripada urus tadbir, pengelola dan pelaksana.

“Banyak kontraktor melak­sanakan kerja-kerja tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Tanam Semula Pembangunan Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mohd. Syahrizal turut mendakwa terdapat pegawai atau kakitangan Felda di pering­kat rancangan yang didakwa tidak mengambil tindakan ter­hadap perkara berkenaan, selain menyifatkan pihak pengurusan di akar umbi sebagai antara pihak yang perlu turut diteliti dalam siasatan.

Mengulas nilai keseluruhan projek yang dianggarkan hampir RM80 juta, beliau berkata, jumlah itu bukan hanya melibatkan kos pembangunan tanam semula, sebaliknya turut me­rangkumi kos sara hidup yang didahulukan melalui pinjaman Felda kepada peneroka sepanjang tempoh pembangunan.

Katanya, kos pembangunan bagi 450 peneroka dan lebih 1,800 hektar untuk tempoh 48 bulan dianggarkan RM45 juta, manakala kos sara hidup pula kira-kira RM1,100 sebulan bagi setiap peneroka sepanjang tempoh berkenaan.

“Maknanya dicampurkan kos pembangunan tanam semula bersama kos sara hidup, jumlahnya hampir RM80 juta. Itu belum melibatkan kos pembangunan selepas tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara lain yang wajar diteliti termasuk kos menaik taraf jalan pertanian, kerja meracun, pembinaan pembentung dan longkang, jambatan serta pintu pagar selain kos-kos lain yang didakwanya belum dijelaskan secara menyeluruh.-UTUSAN.

The post Siasat menyeluruh projek tanam semula sawit Felda Palong 7 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved