Siasat projek punca banjir akibat limpahan Sungai Binjai

LocalEnvironment
23 Nov 2026 • 5:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siasat projek punca banjir akibat limpahan Sungai Binjai

KUALA SELANGOR: Pemaju projek pembangunan di kawasan Setia Alam yang gagal menyediakan dan menyelenggara kolam takungan sehingga mencetuskan banjir di sekitar Meru, Klang akan disiasat selain ditarik semula kebenaran meneruskan kerja pembinaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan tegas sedemikian dikenakan terhadap mana-mana syarikat atau pemaju yang gagal memastikan kolam takungan berfungsi dengan baik.

Katanya, pihaknya akan meminta siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, khususnya melibatkan dakwaan berkaitan pembangunan di kawasan sebuah tanah perkuburan.

“Isu utama yang perlu diberi perhatian ialah keberkesanan kolam takungan dalam mengawal aliran air bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan kemudahan berkenaan berfungsi terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan kerja pembangunan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar ketika meninjau tapak pelupusan sampah haram dan kawasan limpahan ban di Ijok, di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Sungai Binjai di Meru, Klang didakwa tidak lagi mampu menampung lebihan air hujan lebat susulan kewujudan aktiviti pembinaan termasuk sebuah kawasan perkuburan di Setia Alam.

Aliran berterusan dari kolam tadahan di tapak berkenaan ketika hujan lebat dikatakan memenuhi sungai tersebut bersama lumpur atau tanah merah ke kawasan perumahan sekitar Jalan Hamzah Alang, Jalan Sebaya dan Jalan Cempaka.

Banjir sedemikian didakwa sudah pun lebih 10 kali berlaku dalam tempoh setahun selepas air di dalam parit-parit kawasan perumahan dipenuhi air selepas paras Sungai Binjai melebihi tahap biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memberitahu, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Binjai menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah keluarga terjejas banjir khususnya di Jalan Paip berkurangan kepada kira-kira 40 berbanding lebih 100 keluarga sebelum ini.

Katanya, pengurangan itu susulan keadaan Sungai Binjai yang tidak lagi melimpah seperti sebelum ini, sekali gus mengurangkan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Siasatan lanjut masih perlu dilakukan bagi mengenal pasti faktor lain yang menyumbang kepada kejadian banjir di Meru, termasuk dakwaan penduduk berhubung aktiviti pembangunan berhampiran kawasan perkuburan di Setia Alam. – UTUSAN

The post Siasat projek punca banjir akibat limpahan Sungai Binjai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved