Siasatan forensik Khazanah: Xeraya Capital komited beri kerjasama penuh

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 9:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Siasatan forensik Khazanah: Xeraya Capital komited beri kerjasama penuh Image from: Siasatan forensik Khazanah: Xeraya Capital komited beri kerjasama penuh amree21/08/2026 - 09:05 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Lembaga Pengarah Xeraya Capital Sdn Bhd mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan terhadap tadbir urus syarikat itu dan menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh kepada Khazanah Nasional Berhad serta mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan perkara yang dipersoalkan dapat diteliti secara menyeluruh.

 

Dalam kenyataan akhbar, Xeraya berkata pihaknya sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti perkara yang dibangkitkan selain memperkukuh proses pengawasan jika diperlukan.

 

Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan prinsip tadbir urus baik, akauntabiliti dan ketelusan terus menjadi asas pengurusan syarikat, khususnya ketika Xeraya berdepan perhatian susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan forensik menyeluruh dijalankan.

 

 

 

 

 

“Pihak lembaga kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Khazanah dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan kesediaan memberikan sokongan penuh terhadap sebarang semakan, siasatan atau sesi libat urus yang diperlukan.

 

Xeraya merupakan entiti modal teroka milik Khazanah yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor sains hayat, termasuk bioteknologi, teknologi perubatan, farmaseutikal, biorenewables dan teknologi pertanian, dengan portfolio pelaburan meliputi syarikat di Malaysia dan pasaran antarabangsa.

 

Syarikat itu ditubuhkan pada 2012 selepas Khazanah melihat keperluan mewujudkan entiti khusus bagi menguruskan pelaburan bioteknologi yang lebih kecil dan khusus secara berasingan daripada pelaburan berskala besar.

 

Khazanah_DagangNews2026

 

Dalam perkembangan berkaitan, rekod kewangan menunjukkan Xeraya mencatat kerugian bersih RM882,417 pada FY21 sebelum kembali mencatat keuntungan RM118,594 pada FY22. Keuntungan bersih meningkat kepada RM516,777 pada FY23 dan RM484,048 pada FY24, manakala hasil FY24 berjumlah RM3.11 juta.

 

Pada akhir FY24, jumlah aset Xeraya berjumlah RM3.18 juta dengan tunai dan setara tunai sebanyak RM658,581. Bagaimanapun, jumlah aset di peringkat syarikat tidak semestinya menggambarkan keseluruhan nilai aset atau pelaburan yang diuruskan melalui dana-dana pelaburan Xeraya.

 

Dalam wawancara dengan The Edge pada 2020, Ketua Pegawai Eksekutif Xeraya, Fares Zahir, pernah berkata Xeraya ketika itu menguruskan kira-kira AS$500 juta (RM2 bilion) dan sedang berusaha mendapatkan tambahan AS$400 juta bagi dana sains hayat keempatnya.

 

Fares turut menjelaskan ketika itu bahawa Xeraya memberi tumpuan kepada pelaburan global dalam bidang kritikal seperti onkologi, terapi kardiovaskular, penyakit berjangkit, penyelesaian penjagaan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan serta keselamatan makanan, dengan strategi turut diperluas ke rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah.

 

 

 

 

Menariknya, dalam wawancara sama, Fares menekankan kepentingan pendekatan aktif di peringkat lembaga, proses usaha wajar yang ketat serta semakan pakar dalaman dan luaran bagi mengurus risiko pelaburan. 

 

Beliau juga menegaskan walaupun proses usaha wajar dilakukan secara ketat, sebahagian pelaburan tetap berisiko gagal — menjadikan kekuatan tadbir urus, pengawasan dan disiplin pelaburan antara perkara penting dalam pengurusan dana modal teroka.  - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved