amree19/10/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Polis sudah merakam keterangan daripada 15 individu, termasuk 12 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tiga pegawai bank, bagi membantu siasatan dakwaan kegagalan memindahkan RM230.9 juta kutipan hasil kerajaan membabitkan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan daripada kesemua individu berkenaan sudah direkodkan setakat ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Siasatan itu bermula susulan laporan polis yang diterima pada 7 Oktober 2026 berhubung isu transaksi kewangan melibatkan kutipan hasil kerajaan yang dikaitkan dengan kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MyEG.
Kes berkenaan ujar beliau, disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kesalahan pecah amanah jenayah oleh pihak yang diamanahkan dengan harta atau tanggungjawab tertentu.
Pada 13 Oktober 2026, Rusdi memaklumkan polis telah merakam keterangan daripada enam saksi dan sedang meneliti dokumen berkaitan. Jumlah individu yang keterangannya direkodkan kini meningkat kepada 15.
Perkembangan siasatan itu menyusul selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada 5 Oktober 2026 mengesahkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan hasil JPJ digantung susulan kegagalan memindahkan kutipan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.

Loke berkata kerajaan mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan sesi libat urus dengan pihak terlibat sejak Mei 2026. Beliau turut memaklumkan MyEG mengeluarkan cek bernilai RM231 juta bertarikh 30 September 2026, namun pembayaran itu tidak dapat diproses oleh bank berikutan arahan syarikat berkenaan.
Menurut Loke, perkhidmatan kutipan melalui MyEG dan Zetrix AI digantung mulai 5 Oktober. Orang ramai bagaimanapun masih boleh menggunakan saluran alternatif JPJ, termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk untuk urusan berkaitan.
Pada 7 Oktober 2026, Loke menegaskan tunggakan perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi syarikat sebagai ejen kutipan hasil kerajaan boleh dipertimbangkan.
Sementara itu, Zetrix AI mengesahkan pada 15 Oktober 2026 bahawa syarikat itu sedang disiasat polis susulan pertanyaan Bursa Malaysia berhubung laporan siasatan berkenaan. Syarikat itu berkata operasinya tidak terjejas dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Rusdi turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes tersebut. Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah. - DagangNews.com






