GEORGE TOWN - Siasatan berhubung insiden perlanggaran membabitkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pelabuhan Pulau Pinang pada 1 Sept lepas hampir lengkap serta kini berada pada peringkat akhir.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata laporan akhir siasatan itu dijangka dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bulan ini sebaik sahaja proses siasatan selesai.
"Punca perlanggaran itu akan diumumkan kemudian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Keretapi Sarong George Town 2026 di Muzium Feri Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, Yeoh berkata satu Jawatankuasa Siasatan Bersama membabitkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu.
Jawatankuasa itu antara lain berperanan mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang terlibat, selain meneliti serta mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Siasatan turut melibatkan pemeriksaan terhadap kapal dan feri terbabit, serta pengambilan keterangan daripada pihak berkaitan manakala laporan awal kejadian telah dikemukakan kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan MOT.
Dalam kejadian pada 8.40 malam 1 Sept lepas, Feri Teluk Bahang yang dalam perjalanan menuju ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) berlanggar dengan MV Mekar Jaya di perairan dalam lingkungan Pelabuhan Pulau Pinang.
MV Mekar Jaya ketika itu dilaporkan dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam, Butterworth menuju ke Terminal Persiaran Swettenham manakala 21 penumpang feri pada awalnya dilaporkan mengalami kecederaan.
Sementara itu, Yeoh yang juga Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia berkata setakat ini tiada sekatan dikenakan terhadap penganjuran aktiviti luar sektor pelancongan susulan keadaan jerebu.
"Kami sentiasa memantau keadaan semasa dan sekiranya keadaan mencapai tahap berbahaya, program berkenaan mungkin akan ditangguhkan. Kami akan mematuhi segala nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), kesemua empat kawasan pemantauan di Pulau Pinang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari ini, iaitu Minden 167, Balik Pulau 164, Seberang Jaya 162 dan Seberang Perai 160. - Bernama



