
PETALING JAYA – Seorang pengarah syarikat reka bentuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki memberi rasuah bernilai RM300,000.
Suspek dipercayai memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun tersebut.
Perintah reman selama dua hari sehingga 5 Ogos ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan pukul 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2014 hingga 2018. Suspek dipercayai telah memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO tersebut yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000,” katanya.
Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post Siasatan RCI Tabung Haji: Pengarah syarikat disyaki beri rasuah RM300,000 appeared first on Kosmo Digital.






