Minat pelabur buka pusat data kekal rancak, lebih 40 permohonan diterima tahun ini - DCTF

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 12:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Minat pelabur buka pusat data kekal rancak, lebih 40 permohonan diterima tahun ini - DCTF Image from: Minat pelabur buka pusat data kekal rancak, lebih 40 permohonan diterima tahun ini - DCTF hamden14/09/2026 - 12:29

KUALA LUMPUR 14 Sept - Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) telah menerima lebih 40 permohonan untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi pusat data di Malaysia pada tahun ini, mencerminkan minat pelaburan yang berterusan terhadap industri infrastruktur digital negara.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap cadangan dinilai bukan sahaja berdasarkan nilai pelaburan, malah turut mengambil kira keperluan tenaga, air dan ketersambungan, serta potensi sumbangannya terhadap aspirasi ekonomi dan digital jangka panjang Malaysia.

 

“Apabila skala dan kadar pelaburan meningkat, keutamaan kita juga perlu berkembang seiring dengan industri.

 

“Fasa seterusnya adalah mengenai apa yang dapat dihasilkan oleh kapasiti tersebut: penggunaan kecerdasan buatan (AI), inovasi tempatan, tenaga kerja berkemahiran serta pekerjaan bernilai lebih tinggi,” katanya dalam ucapan dasar pada Data Centre Nexus 2026 di sini pada Isnin.

 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

 

Johari berkata, kerajaan telah memperkukuh peranan DCTF yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Digital sebagai platform penting untuk memudah cara pendekatan yang lebih terselaras terhadap industri berkenaan.

 

Beliau berkata, Malaysia sedang menetapkan piawaian yang jelas bagi kecekapan penggunaan tenaga dan air, selain mengambil langkah lebih jauh berbanding banyak negara lain di rantau ini dengan menetapkan piawaian bagi kecekapan penggunaan karbon.

 

“Melalui pasukan petugas itu, Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara turut membangunkan rangka kerja serta garis panduan berkaitan bagi menyokong pembangunan industri pusat data secara mampan.

 

“Ketika industri terus berkembang, kita mahu melihat kapasiti baharu disokong oleh pengendali yang komited terhadap tenaga boleh diperbaharui, kecekapan yang lebih tinggi dan pengurusan sumber secara bertanggungjawab, selain mengguna pakai penyelesaian lebih mampan dalam operasi mereka,” katanya.

 

Johari berkata, Malaysia meluluskan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM218.5 bilion merentasi pelbagai sektor ekonomi pada separuh pertama 2026, hampir 12% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Beliau berkata, sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM149.6 bilion atau 68.5% daripada jumlah keseluruhan itu, manakala subsektor maklumat dan komunikasi yang merangkumi pusat data merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM103.3 bilion.

 

Projek pusat data dan pengkomputeran awan sahaja menyumbang RM95.8 bilion atau hampir 44% daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh berkenaan.

 

Beliau berkata, kelulusan pelaburan berkaitan pusat data pula telah mencapai RM385.7 bilion sejak 2021. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved