KANGAR – Penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini dibuat bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri menyusun semula pentadbiran, kata Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Menurut beliau, keputusan itu adalah perkara biasa dalam proses pentadbiran, khususnya melibatkan kepimpinan baharu yang memerlukan masa untuk memperkemas struktur dan pergerakan jabatan.
“Setiap kepimpinan ada cara tersendiri. Saya masih baharu memegang jawatan Menteri Besar, begitu juga Setiausaha Kerajaan Negeri, jadi kita perlu sedikit masa untuk menyusun semula pentadbiran agar persidangan DUN dapat berjalan dengan lebih sempurna,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penangguhan sidang DUN yang sebelum ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan wakil rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri masih mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mengadakan persidangan tersebut berdasarkan peraturan yang menetapkan sidang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan.
“Kita ada tempoh sehingga 8 Jun dan saya memberi jaminan persidangan DUN akan diadakan sebelum tarikh tersebut. Tarikh baharu dijangka diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan kononnya penangguhan dibuat akibat tekanan politik, beliau menegaskan perkara itu tidak berbangkit.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merujuk kepada beberapa pihak bagi memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan peraturan dan kepentingan pentadbiran.
“Dalam politik kita tidak pernah takut. Ini bukan soal tekanan atau ugutan, sebaliknya melibatkan pendekatan kepimpinan dalam memastikan pentadbiran lebih tersusun.
“Yang penting, kita mahu memastikan persidangan DUN berjalan dengan lebih tersusun dan berkesan apabila diadakan nanti,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan Sidang DUN Perlis ditangguhkan ke satu tarikh baharu tanpa alasan terperinci, sekali gus mencetuskan reaksi daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri.
Bekas Menteri Besar yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli dilaporkan menyifatkan penangguhan itu sebagai luar biasa kerana dibuat tanpa sebarang kecemasan seperti bencana atau penularan wabak.





