Silver Ridge terima tempahan pembelian produk perindustrian bernilai RM3 juta
diyana
27/10/2023 - 17:43
KUALA LUMPUR 27 Okt - Silver Ridge Holdings Berhad telah menerima tempahan pembelian dari Oktober 2023 hingga kini yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Silver Ridge berkata anak syarikatnya, Total SR Web 3.0 Sdn Bhd memperoleh tempahan untuk perdagangan produk perindustrian dan lain-lain.
Syarikat penyedia rumusan telekomunikasi itu berkata tempahan dijangka siap menjelang Januari 2024.
Menurut Silver Ridge, tempahan tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal terbitan dan berbayar, pegangan saham pemegang saham yang besar, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan.
“Lembaga Pengarah berpendapat bahawa tempahan ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan pendapatan masa depan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024,” katanya.
Saham Silver Ridge ditutup tinggi pada 68 sen, menokok 2.5 sen atau 3.8% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM145.3 juta. - DagangNews.com



