Sime Darby Property habis jual 52 rumah berkembar Seroja Gardens dalam 3 jam

12 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Property habis jual 52 rumah berkembar Seroja Gardens dalam 3 jam Image from: Sime Darby Property habis jual 52 rumah berkembar Seroja Gardens dalam 3 jam amree12/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Sebanyak 52 unit rumah berkembar projek Seroja Gardens, Nilai Impian, Negeri Sembilan, habis dijual dalam tempoh hanya tiga jam selepas pelancarannya pada September 2026.

 

Kumpulan pemaju hartanah tersebut dalam kenyataan berkata, fasa pertama pembangunan terbaharu berkenaan mencatat kadar jualan 100%, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM48.3 juta.

 

Jelasnya, projek itu menawarkan rumah berkembar setingkat dengan keluasan lot 12.19 meter lebar dan 24.38 meter panjang serta keluasan binaan 183.11 meter persegi pada harga bermula RM905,888 seunit.

 

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, sambutan itu mencerminkan permintaan terhadap kediaman bertanah yang luas di kawasan perbandaran matang.

 

"Ini khususnya dalam kalangan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman serta keluarga yang semakin berkembang, disokong kedudukan Nilai Impian mempunyai akses ke pusat pekerjaan utama," katanya.

 

Antaranya ujar beliau, berdekatan Putrajaya, Cyberjaya dan selatan Lembah Klang, selain turut menarik pembeli yang mahu mencari kediaman lebih besar dengan kemudahan akses ke tempat kerja.

 

Sime Darby Property_DagangNews2026

 

Susulan permintaan tinggi itu, Sime Darby Property merancang memperkenalkan fasa kedua Seroja Gardens pada bulan depan dengan anggaran GDV RM44 juta, dan harga jualan bermula RM925,888 seunit.

 

Dari segi aksesibiliti, Nilai Impian terletak berhampiran Nilai dengan rangkaian hubungan ke Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah serta Lebuhraya Kajang-Seremban.

 

"Pembangunan ini turut meraih manfaat kedudukannya berhampiran stesen KTM Batang Benar dan Nilai, selain cadangan Lebuhraya Nilai-Labu-Enstek yang bakal menambah pilihan penduduk," jelas Leong.

 

Sebelum pelancaran Seroja Gardens, Sime Darby Property memperkenalkan dua pembangunan rumah teres dua tingkat di Nilai Impian, iaitu Emilia dengan 99 unit dan Emilia Lakeside dengan 210 unit.

 

Nilai Impian meliputi kawasan berkeluasan 732 hektar dan dibangunkan sebagai perbandaran matang yang menggabungkan projek pembangunan kediaman serta aktiviti ekonomi dalam Negeri Sembilan. 

 

Ia terletak di koridor pertumbuhan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selaras dengan kerangka pembangunan perindustrian dan wilayah Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved