Sime Darby Property, TNB lancar pengagregatan solar komuniti pertama negara di Elmina

LocalBusiness & Finance
28 Apr 2025 • 3:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Property, TNB lancar pengagregatan solar komuniti pertama negara di Elmina

image is not available

28/04/2025 - 15:10

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 April - Sime Darby Property Bhd (SDP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi syarikat pertama di Malaysia yang mengoperasikan penjanaan tenaga solar di bawah inisiatif Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM), satu inisiatif penting di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dilancarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Mac 2025, inisiatif itu memperkasakan penjana dan penyelaras tenaga tempatan (LEGA) untuk memperluas akses berasaskan komuniti kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).

Melalui kerjasama dengan anak syarikat solar TNB, GSPARX Sdn Bhd, SDP akan menyewa bumbung rumah kediaman, bermula dengan rumah di Bandar Elmina, untuk dipasang panel solar tanpa memerlukan pemilik rumah untuk memasang atau membiayainya.

Tenaga bersih yang dijana akan dieksport melalui rangkaian pengedaran tempatan untuk membekalkan tenaga kepada hartanah komersial dan industri berdekatan milik syarikat tersebut.

Kerjasama penting itu merupakan kesinambungan daripada usaha sama yang diumumkan pada Julai 2024 antara Sime Darby Property dan GSPARX, yang bertujuan untuk melaksanakan penyelesaian solar, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dan mikrogrid di seluruh portfolio Sime Darby Property.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SDP, Datuk Seri Azmir Merican berkata, penyertaan syarikat dalam inisiatif ini menunjukkan kepimpinan mereka dalam memajukan bandar lestari dan penyelesaian tenaga inklusif.

"Penyertaan kami dalam inisiatif CREAM memperkenalkan model yang boleh diperluaskan untuk memanfaatkan bumbung komuniti dalam menggerakkan penggunaan tenaga solar.

"Ini menyokong matlamat pengurangan emisi kami, melengkapi agenda peralihan tenaga Malaysia, dan mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan lestari," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah sebagai LEGA pertama negara, SDP menyumbang kepada aspirasi tenaga boleh diperbaharui negara sambil menyasarkan pengurangan emisi Skop 1 dan 2 sebanyak 40% menjelang 2030 dan mencapai sifar emisi karbon bersih menjelang 2050.

Melalui projek percubaan itu, SDP dan TNB turut menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam NETR dan pelan strategik PETRA.

Inisiatif tersebut bukan sahaja menetapkan preseden bagi pengagregatan tenaga boleh diperbaharui pada masa depan di Malaysia, tetapi juga menunjukkan kekuatan kerjasama awam-swasta dalam mencapai matlamat kelestarian negara.- DagangNews.com

standard