amree03/11/2026 - 13:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov — Jurang kekayaan antara Bumiputera dan kaum Cina di Malaysia semakin membimbangkan dengan tabungan persaraan penengah ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bumiputera berusia bawah 55 tahun hanya RM12,879 pada 2025, berbanding RM55,698 bagi kaum Cina.
Dapatan terbaharu badan penyelidikan bebas Legasi mendedahkan, perbezaan yang ketara itu menyaksikan simpanan persaraan Bumiputera adalah lebih empat kali ganda rendah berbanding kaum Cina, dengan nisbah simpanan penengah hanya kira-kira 0.23:1.
Lebih membimbangkan ujarnya, kedudukan simpanan Bumiputera masih lagi belum pulih daripada kesan pengeluaran khas KWSP ketika era wabak Covid-19 pada 2020 dan 2021, malah terus merosot berbanding paras tabungan sebelum pandemik global berkenaan.
Menurut laporan penyelidikan bertajuk 'Jurang Kekayaan Antara Etnik di Malaysia (Siri 1)' yang diterbitkan pada Oktober 2026, simpanan penengah KWSP Bumiputera berkurangan 17% daripada RM15,500 pada April 2020 kepada hanya RM12,879 pada 2025.
"Sebaliknya, simpanan penengah kaum Cina meningkat kira-kira 22% daripada RM45,800 kepada RM55,698 dalam tempoh sama, manakala kaum India pula mencatatkan penurunan 14% kepada RM22,028 daripada RM25,700," jelas kajian Legasi tersebut.
Badan berkenaan turut menjelaskan, jurang kekayaan ini lebih ketara apabila dibandingkan dengan perbezaan pendapatan dan gaji bulanan antara kedua-dua kumpulan etnik berkenaan yang masih berada pada tahap lebih terkawal.

Bagi 2024, pendapatan penengah bulanan isi rumah Bumiputera berjumlah RM6,559 berbanding RM8,886 bagi kaum Cina, bersamaan nisbah 0.74:1. Sementara itu, gaji penengah Bumiputera pada 2025 sebanyak RM2,688 berbanding RM3,324 bagi kaum Cina, dengan nisbah 0.81:1.
Ujar Legasi, kedudukan lebih ketara dilihat dalam pendapatan hasil pemilikan harta dan pelaburan apabila isi rumah Bumiputera hanya memperoleh purata RM851 sebulan pada 2024, berbanding RM1,629 bagi kaum Cina, dengan nisbah masing-masing 0.52:1.
"Malah, jurang pendapatan daripada harta dan pelaburan itu semakin melebar berbanding 2014 apabila nisbah Bumiputera kepada Cina merosot daripada 0.54:1 kepada 0.52:1, meskipun pendapatan kedua-dua kumpulan meningkat dalam tempoh berkenaan," katanya.
Laporan itu menegaskan, ukuran kejayaan pembangunan sosioekonomi negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha merapatkan jurang pendapatan, sebaliknya perlu turut mengambil kira pemilikan aset kewangan, hartanah serta keupayaan membina kekayaan jangka panjang.
Sehubungan itu, Legasi berpandangan dasar pembangunan perlu memberikan penekanan lebih besar kepada pembinaan kekayaan dan akses pemilikan aset secara bersasar, telus serta adil, khususnya bagi mengelakkan manfaat pembangunan hanya tertumpu kepada kelompok elit.
Siri kedua laporan badan berkenaan dijangka mengemukakan anggaran nilai stok harta dan kekayaan per kapita mengikut kumpulan etnik di Malaysia bagi membantu penggubal dasar merangka intervensi yang lebih berkesan. - DagangNews.com






