Sindiket dadah antarabangsa sasar individu terdesak kewangan jadi keldai

6 Nov 2026 • 5:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sindiket dadah antarabangsa sasar individu terdesak kewangan jadi keldai

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Golongan yang berdepan masalah kewangan, khususnya dari Sarawak dan Pahang dikesan menjadi sasaran utama sindiket penyeludupan dadah antarabangsa untuk direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata modus operandi sindiket yang aktif sejak September lepas itu terbongkar susulan penahanan empat individu termasuk seorang dalang warga asing di Brickfields di sini, semalam.

Beliau berkata sindiket terbabit sebelum ini dikenal pasti merekrut lima rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia serta lima lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, Jepun pada September dan Oktober lepas.

“Suspek yang ditahan di sebuah inap desa di Brickfields terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai perekrut, manakala dalang sindiket merupakan seorang lelaki warga asing pemegang pasport Hong Kong yang berperanan membekalkan dadah.

"Turut dirampas, dua pasang kasut dan dadah jenis kokain seberat 450 gram dipercayai untuk diserahkan kepada dua keldai dadah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata kesemua suspek tempatan yang bertindak sebagai perekrut ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata seorang lagi ahli sindiket yang turut berperanan merekrut keldai dadah telah ditahan pihak berkuasa Hong Kong kerana cuba menyeludup masuk bahan terlarang itu ke wilayah berkenaan.

Hussein berkata dalang sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari negara di utara Semenanjung dan berada di negara ini sejak 2022, selain semakan mendapati lelaki terbabit dikesan keluar masuk Malaysia melebihi 20 kali sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam kes berasingan, Hussein berkata polis merampas 109.17 kilogram ganja dan menahan seorang lelaki dalam satu operasi di sekitar Selangor pada 30 Okt lepas.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua kereta, sebuah motosikal, tiga jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan disyaki aktif mengedar ganja sejak Ogos lepas.

Beliau berkata lelaki terbabit yang didapati positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau kini direman hingga 12 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved