Sindiket dadah RM86.78 juta tumpas

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussein (tengah) pada sidang akbar di IPK Melaka pada Rabu.

MELAKA - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dianggarkan bernilai RM86.78 juta menerusi tiga siri serbuan di sekitar Melaka Tengah pada awal Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 55 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama pada 6 Mac lalu di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam berjaya menahan tiga suspek dan merampas 12 bungkusan dadah disyaki Erimin 5 seberat 1.73 kilogram, selain 13 telefon bimbit, tujuh buku nota dan sebuah komputer riba.

“Serbuan kedua pada 8 Mac 2026 di sekitar Taman Kenanga pula membawa kepada penahanan dua lagi suspek.

“Polis turut merampas beberapa jenis dadah termasuk cecair dan serbuk disyaki MDMA, pil Erimin 5, pil ekstasi serta ketamin,” katanya menerusi sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata, serbuan ketiga pada hari sama di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Satu Krubong membongkar sebuah makmal haram memproses dadah yang turut dijadikan stor penyimpanan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 274.08 kilogram cecair disyaki MDMA, 303.85 kilogram serbuk disyaki MDMA, selain sejumlah pil ekstasi, pil Erimin 5, ketamin serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM86.78 juta yang boleh merosakkan 1.1 juta penggunanya,” katanya.

Katanya, bekalan itu dipercayai diperoleh dari Lembah Klang untuk diedarkan di Melaka, khususnya di pusat hiburan

Ujar beliau, siasatan mendapati dua suspek berperanan sebagai koordinator, seorang sebagai penjaga stor, manakala dua lagi bertindak sebagai runner sindiket.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lepas dengan menjadikan rumah yang disewa sebagai makmal memproses dan stor dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau menunjukkan dua suspek pernah terlibat kes dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam operasi sama, polis turut menyita harta bernilai kira-kira RM38,000, termasuk sebuah kereta Proton Iriz dan motosikal Yamaha Y15ZR.