Sindiket keldai dadah sasar golongan muda, graduan universiti - Polis

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 3:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket keldai dadah sasar golongan muda, graduan universiti - Polis
Noor Hisam (kanan) menyampaikan sijil kepada pelatih terbaik. -Foto: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Sindiket pengedaran dadah kini menyasarkan golongan muda termasuk graduan universiti melalui pelbagai taktik, antaranya menawarkan imbuhan lumayan bagi menarik mereka terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sindiket dadah sememangnya licik dalam mempengaruhi individu, justeru golongan muda perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda atau tawaran menarik yang dikemukakan pihak tertentu.

“Sindiket ini menyasarkan golongan muda dan sangat licik dalam mempengaruhi mereka.

“Jadi, berhati-hatilah. Sebagai individu terpelajar dan graduan universiti, mereka perlu bijak menilai bahawa tidak semua yang dilihat secara zahir adalah seperti yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi Universiti Awam Ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa India selepas didakwa membawa dadah jenis ganja seberat 15 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi pada 4 September lalu.

Mengulas lanjut, Noor Hisam menasihatkan golongan muda supaya mendapatkan maklumat yang tepat sebelum menerima sebarang tawaran yang mencurigakan.

“Saya ingin mengingatkan supaya tidak menjadi keldai dadah mahupun keldai akaun kerana kes seperti ini sering membabitkan generasi muda.

“Bukan sahaja pelajar universiti, malah orang awam dalam kalangan belia turut terlibat,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan dalam aktiviti berkenaan boleh menjejaskan masa depan seseorang, terutama mereka yang masih menuntut atau mempunyai prospek kerjaya yang baik.

“Jika mempunyai sebarang keraguan, rujuk balai polis berhampiran untuk mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved