Sindiket lerai kereta curi tumpas, 20 warga asing dicekup

LocalCars
14 Aug 2026 • 8:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket lerai kereta curi tumpas, 20 warga asing dicekup

KLANG – Sindiket melerai dan menjual komponen kenderaan lusuh serta kenderaan curi yang dipercayai didalangi warga Pakistan tumpas selepas 20 warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di Jalan Kapar, di sini kelmarin.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, kesemua yang ditahan membabitkan 17 lelaki warga Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan awal mendapati sindiket
tersebut dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah sekitar Kapar, baru-baru ini.

Katanya, seramai 24 pegawai telah diaturgerak ke lokasi hasil maklumat yang diperolehi terhadap jenayah terancang dilakukan warga asing.

“Penahanan warga Indonesia dalam serbuan itu turut membongkar keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal.

“Setiap PATI akan dikenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM10, 000 bagi perkhidmatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kesemua tahanan dibawa Depot Imigresen untuk siasatan lanjut dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kes juga disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelasnya.

Zakaria turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan  seorang lelaki warga Pakistan berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan sebuah van jenazah dipercayai curi di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, kira-kira pukul 7.20 petang, 7 Ogos lalu.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut menggempur lokasi sama pada Selasa lalu dengan notis arahan pemulihan tapak serta memberhentikan aktiviti dikeluarkan mengikut Seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket lerai kereta curi tumpas, 20 warga asing dicekup appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved