Sindiket pelacuran Malaysia-Singapura tumpas, 30 individu ditahan

21 Oct 2026 • 10:51 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sindiket pelacuran Malaysia-Singapura tumpas, 30 individu ditahan

SHAH ALAM, 21 OKT: Polis menumpaskan sindiket pelacuran rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dipercayai menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di republik berkenaan.

Seramai 30 individu termasuk 29 warga asing ditahan menerusi Op Noda-Rentas Sempadan yang dijalankan secara serentak di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata operasi dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) itu menyasarkan sindiket yang menggunakan laman sesawang untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran.

Menurutnya, sembilan individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan warga asing berusia antara 29 hingga 56 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan, dengan kesemua mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama.

“Siasatan awal polis mendapati kesembilan individu yang ditangkap dipercayai ahli kumpulan sindiket persundalan yang sama dan mempunyai rekod dikehendaki oleh SPF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sembilan individu terbabit akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol), JSJ Bukit Aman selepas proses pengesahan identiti dan perundangan berkaitan diselesaikan.

Dalam operasi sama, polis turut menahan 21 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mempromosi serta menguruskan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian.

Kumpulan itu terdiri daripada 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos, manakala pelbagai peranti elektronik yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan turut dirampas bagi membantu siasatan.

Mengulas modus operandi sindiket, M Kumar berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2024 di Singapura sebelum menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi untuk menguruskan laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan di negara jiran berkenaan.

“Malaysia dijadikan sebagai hab operasi bagi mengelakkan serta menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pencegahan ke atas kumpulan sindiket,” menurut kenyataan itu.

Kesemua 21 warga asing yang ditahan dalam operasi sama kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

M Kumar berkata kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara PDRM dan SPF melalui perkongsian maklumat risikan dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, bagi memastikan kegiatan sindiket seumpama itu dapat dibanteras.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved