
PETALING JAYA – Kegiatan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi membekalkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di Singapura terbongkar menerusi Op Noda-Rentas Sempadan, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
“Modus operandi sindiket yang dipercayai mula bergiat aktif menjalankan aktiviti pelacuran sejak 2024 di Singapura ini dikesan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan pelacur kepada pelanggan di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tersebut membawa kepada penahanan 30 individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan 29 warga asing, menerusi beberapa serbuan di premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan individu terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan warga asing dipercayai anggota sindiket sama yang dikehendaki pihak berkuasa Singapura.
“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 29 hingga 56 tahun, termasuk tujuh warga China dan seorang warga Singapura. Siasatan awal mendapati kesemua sembilan individu itu dikehendaki SPF bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 146A(1)(b) Piagam Wanita 1961 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan Singapura,” ujarnya.
Dalam operasi sama, Kumar berkata, polis turut menahan 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos berusia antara 19 hingga 41 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosikan serta menguruskan khidmat pelacuran secara dalam talian.
Katanya, semakan awal mendapati seorang warga Singapura dan empat warga China yang ditahan dipercayai tinggal lebih masa di Malaysia.
“Kesemua 21 individu yang ditahan dalam kumpulan kedua direman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk kesalahan mempromosikan perkhidmatan pelacuran dan kesalahan imigresen.
“Sembilan individu yang dikehendaki diserahkan kepada SPF melalui Bahagian D12 (Biro Pusat Kebangsaan/Interpol) Bukit Aman selepas pengesahan identiti dan prosedur undang-undang berkaitan selesai,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Datuk M. Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pelacuran rentas sempadan dengan kerjasama pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket pelacuran Singapura beroperasi di Malaysia terbongkar appeared first on Kosmo Online.






