Sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing kaut RM100 juta tumpas

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 1:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing kaut RM100 juta tumpas
Zakaria (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA – Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pekerja asing yang dipercayai mengaut keuntungan mencecah RM100 juta sejak tujuh tahun lalu terbongkar menerusi serbuan Ops Serkap di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur pada 13 dan 14 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun, termasuk seorang wanita warga Vietnam yang merupakan pengarah syarikat.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan hasil risikan selama enam bulan selain maklumat serta aduan yang diterima.

“Hasil serbuan, pihak kami menemui dokumen imigresen seperti e-pass dan pelekat keselamatan yang telah diubah suai untuk digunakan syarikat terbabit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Antara barangan yang dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya.

Beliau berkata, enam Notis Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

Tambah Zakaria, pihaknya turut memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek utama yang dipercayai cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.

“Suspek utama dikenali sebagai MJ merupakan seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun.

"Siasatan mendapati dia pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada 2016,” katanya.

Menurutnya, semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih diteruskan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta jumlah sebenar keuntungan yang dianggarkan mencecah RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta undang-undang berkaitan.

“Jabatan Imigresen Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak terlibat,” katanya.

Zakaria menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya membabitkan pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.