
SHAH ALAM, 8 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan sindiket penyeludupan migran yang menjadikan kediaman mewah di sekitar Cap Square Centre, Kuala Lumpur sebagai rumah transit bagi menyembunyikan warga asing yang diseludup masuk ke negara ini.
Kegiatan itu terbongkar selepas JIM menyerbu dua premis berkenaan dalam Operasi Khas yang bermula pada jam 12.30 tengah malam semalam dan menahan 10 warga Bangladesh, termasuk dua individu yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kediaman itu sebagai penempatan sementara bagi warga asing yang memasuki negara ini melalui pintu masuk tidak sah sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.
Premis terbabit turut dikawal penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran membabitkan migran yang diseludup selesai.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu dijalankan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan selama sebulan.
"Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama satu bulan, pasukan operasi diatur gerak ke dua premis kediaman mewah dan berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai 'penjaga premis'," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, pasukan operasi turut menahan enam lelaki dan dua wanita warga Bangladesh berusia antara 23 hingga 43 tahun, menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang.
Semakan awal mendapati seorang lelaki memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembinaan, manakala dua wanita yang ditahan telah disenarai hitam JIM tetapi dipercayai memasuki semula negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
Beliau berkata, individu lain yang ditahan pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi turut menyita tiga pasport Bangladesh milik individu lain serta wang tunai RM1,595 yang dipercayai hasil kegiatan itu, dengan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 dikenakan bagi setiap migran.
Zakaria berkata sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
Kedua-dua penjaga premis disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.






