
SINGAPURA – Singapura akan mengeluarkan notis langkah pencegahan terhadap tujuh syarikat Indonesia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kebakaran yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan, lapor laman berita Business Today semalam.
Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Grace Fu berkata, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) akan mengeluarkan notis tersebut di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura.
Menurut saluran berita CNA, notis itu menyusuli siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Singapura ke atas kebakaran di Indonesia yang dipercayai menyumbang kepada jerebu semasa.
Tujuh syarikat dikenal pasti itu ialah PT Bumi Andalas Permai, PT Bumi Mekar Hijau, PT Paramitra Mulia Langgeng, PT Sumatera Alam Anugerah, PT SBA Wood Industries, PT Hutan Lestari Raya dan PT Bangkanesia.
Di bawah notis sama, syarikat-syarikat terbabit dikehendaki mengerahkan petugas untuk memadamkan kebakaran sedia ada atau mencegahnya daripada merebak di tanah milik atau diduduki mereka.
Mereka juga mesti menghentikan sebarang aktiviti pembakaran dan mengelak daripada memulakan kebakaran baharu di tanah masing-masing.
Selain itu, setiap syarikat dikehendaki menyerahkan pelan tindakan kepada NEA yang menggariskan langkah-langkah untuk memadamkan kebakaran dan mencegah kejadian serupa daripada berulang.
Fu berkata, NEA akan menyiasat semua syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Singapura.
Menurutnya, notis selanjutnya boleh dikeluarkan kepada syarikat lain jika siasatan menemukan bukti mengaitkan aktiviti mereka dengan kebakaran hutan yang menyumbang kepada pencemaran udara rentas sempadan.
“”Kami akan terus memantau keadaan dan maklum balas syarikat terhadap notis yang dikeluarkan ini,” katanya.
Singapura tidak menolak untuk mengambil langkah penguatkuasaan lebih tegas, termasuk penalti kewangan atau pertuduhan jenayah, bergantung kepada penemuan siasatan dan pematuhan syarikat terhadap notis berkenaan.
Menjawab soalan daripada CNA, Fu berkata, denda dan pertuduhan kekal antara pilihan yang sedang dipertimbangkan.
“Kita akan lihat keberkesanannya dari semasa ke semasa,” tambahnya. – AGENSI
The post Singapura akan bertindak ke atas 7 syarikat Indonesia didakwa penyumbang jerebu appeared first on Kosmo Online.




