Singapura siasat syarikat Indonesia punca jerebu

WorldEnvironment
17 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Singapura siasat syarikat Indonesia punca jerebu

SINGAPURA: Tujuh syarikat di Indonesia yang dikenal pasti bertanggungjawab terhadap kebakaran sehingga menyebabkan jerebu ketika ini akan menerima notis langkah pencegahan daripada Singapura.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu, berkata notis itu akan dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) susulan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Beliau berkata, syarikat terbabit diwajibkan mengerahkan anggota pemadam kebakaran bagi memadamkan api atau mencegah kebakaran daripada merebak di tanah milik atau yang didudukinya.

Mereka juga perlu menghentikan atau tidak memulakan sebarang aktiviti pembakaran di kawasan berkenaan serta mengemukakan pelan tindakan kepada NEA bagi memadamkan kebakaran dan mencegah kejadian berulang.

Empat syarikat iaitu PT Bumi Andalas Permai, PT Bumi Mekar Hijau, PT Sebangun Bumi Andalas Woods Industries dan PT Rimba Hutani Mas turut menerima notis undang-undang daripada NEA berhubung krisis jerebu pada 2015.

NEA pada Isnin memaklumkan siasatan terhadap syarikat berkenaan masih berjalan.

Grace Fu berkata, NEA akan menyiasat semua syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan di Singapura.

Beliau berkata, agensi itu akan mengeluarkan notis kepada lebih banyak syarikat serta mempertimbangkan tindakan lain di bawah akta berkenaan sekiranya terdapat petunjuk bahawa mereka menyebabkan kebakaran sehingga mencetuskan jerebu rentas sempadan.

“Kami akan terus memantau keadaan dan maklum balas syarikat terhadap notis berkenaan, sekiranya tindakan lanjut diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, kes terdahulu membantu kerajaan memahami dengan lebih baik cabaran praktikal dalam menyiasat kesalahan berkaitan jerebu rentas sempadan.

Pengalaman daripada kes berkenaan akan dijadikan panduan dalam menilai kejadian jerebu ketika ini serta menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil di bawah akta berkenaan.- CNA

 

The post Singapura siasat syarikat Indonesia punca jerebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved