Siri CPU Intel Razor Lake Dijangka Mengembalikan Ciri Memori Dalam Pakej Cip

TechnologyDigital
12 May 2026 • 12:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh baru sahaja dilancarkan beberapa minggu yang lalu, dan siri cip Intel Nova Lake dijangka akan menggantikannya pada penghujung tahun ini. Walaupun begitu, kemajuan teknologi tidak berhenti, dan terkini, sedikit butiran mengenai siri cip pemprosesan komputer desktop dan komputer riba akan datang mereka, yang dinamakan Intel Razor Lake telah tertiris ke arena web.

Apa yang diketahui setakat ini ialah salah satu daripada siri cip pemprosesan tersebut ialah ia dinamakan Razor Lake-AX, yang merupakan siri cip pemprosesan APU atau Accelerated Processing Unit. Jika anda pernah mendengar terma ini, ia adalah kerana AMD telah menggunakannya untuk siri cip pemprosesan mereka yang memperlihatkan gabungan komponen CPU dan GPU dalam satu pakej, dan lazimnya boleh digunakan dalam kedua-dua rekabina komputer desktop dan komputer riba.

Intel HQ

Dengan Intel Razor Lake-AX, Intel nampaknya bukan sahaja akan menggabungkan kedua-dua komponen CPU dan GPU, tetapi sama seperti siri cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan Intel Lunar Lake sebelum ini, akan hadir dengan komponen memori terbina didalamnya juga.

Ia dijangka akan menjadikan siri cip pemprosesan tersebut sebagai sebuah siri cip perkomputeran berkuasa yang lengkap dalam satu pakej yang bukan sahaja memperkenalkan kemampuan perkomputeran yang hebat dan pantas, tetapi membolehkan jenama-jenama komputer untuk memperkenalkan rekabentuk komputer yang jauh lebih menarik berbanding penawaran sekarang.

Bukan itu sahaja, jangkaannya ialah sebarang komputer riba yang menggunakan siri cip Razor Lake-AX ini juga akan hadir dengan jangka-hayat bateri yang panjang kerana sel bateri yang boleh dimuatkan didalamnya adalah lebih besar daripada apa yang diperlihatkan sekarang.

Siri cip pemprosesan Intel Razor Lake-AX dijangka akan diperkenalkan pada penghujung tahun 2027.