
Honor mula memperkenalkan tablet generasi baharu Honor Pad 20 di pasaran global. Siri ini hadir dengan dua variasi iaitu Honor Pad 20 dan Honor Pad 20 Pro dengan versi Pro menjadi kali pertama diperkenalkan dalam barisan tablet keluaran syarikat berkenaan.
Honor Pad 20 Pro hadir dengan skrin Paperlike 12.1″ beresolusi 3K (3000 × 1872 piksel) dengan kadar segar semula 165Hz, kecerahan 700 nits serta sokongan gamut warna DCI-P3. Ia dilengkapi teknologi Eye Comfort dengan lapisan perlindungan mata termasuk AI Defocus, di samping melepasi pensijilan TÜV Rheinland untuk paparan mesra mata. Rekaannya pula setebal 6.29mm dengan berat sekitar 537g sahaja.

Tunjang utama tablet ini dikuasakan cip Snapdragon 8s Gen 4 dengan sokongan PC Mode yang menawarkan antara muka desktop, multi window, dock kekal serta penggunaan tetikus dan papan kekunci. Fungsi AI turut dipertingkat melalui AI Memo yang kini menyokong Circle to Search, selain adanya AI Writing Tools dan AI Translation.

Tablet ini turut dilengkapi bateri berkapasiti 10,100 mAh yang mampu bertahan sehingga 72 hari dalam mod standby, dengan penggunaan sehingga 12 jam menonton video, 7 jam permainan, dan 13 jam membaca. Melengkapinya lagi, sistem audio dengan 6 pembesar suara bersama teknologi HONOR Spatial Audio dan DTS:X Ultra menawarkan pengalaman bunyi lebih imersif.

Honor Pad 20 turut mengekalkan sebahagian besar perkakasan dalaman sama seperti versi Pro termasuk skrin 12.1″ dengan pilihan panel Paperlike seakan kertas, fungsi AI terbina dan bateri 10,100 mAh. Perbezaannya terletak pada sokongan kadar segar semula yang hanya 120Hz serta cip Snapdragon 7 Gen 3. Kedua-dua model Honor Pad 20 ini ditawarkan dalam pilihan warna kelabu sahaja, sementara itu harga jualannya masih belum diumumkan. Tablet ini juga dijadualkan membuat kemunculan rasmi di Malaysia pada 24 Ogos 2026.
Sumber – HONOR Global




