Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah dikenal pasti tidak selamat didiami

30 Oct 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah dikenal pasti tidak selamat didiami

GEORGE TOWN – Empat buah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini, diarahkan dikosongkan selepas dikenal pasti tidak selamat untuk diduduki susulan kejadian tanah runtuh, 25 Oktober lalu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 83 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik rumah yang terlibat.

Menurutnya, bagaimanapun dua daripada enam rumah yang sebelum ini diarah dikosongkan pula telah diberikan kebenaran untuk diduduki semula berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Timur Laut Bilangan 2 Tahun 2026.

“MBPP turut mengeluarkan notis pemberhentian kerja tanah di tapak projek berkenaan pada 25 Oktober lalu mengikut Seksyen 70A akta sama.

“MBPP telah mengarahkan pihak pemaju dan perunding mengambil tindakan segera termasuk memasang penghadang keselamatan, mengawal aliran air permukaan serta menutup permukaan tanah dan cerun terdedah menggunakan geotekstil.

“Langkah mitigasi sementara juga sedang dilaksanakan bagi mengelakkan air hujan mengalir masuk ke kawasan cerun dan mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh berulang,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN), tadi.

Beritahu beliau, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada hari kejadian berlaku bagi mengenal pasti punca runtuhan cerun tersebut.

Katanya, sebarang unsur kecuaian atau kesalahan hanya boleh dipastikan selepas siasatan JKKP selesai dan pihak berkuasa tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal.

Dalam perkembangan sama, satu mesyuarat melibatkan agensi berkaitan termasuk JKKP, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan diadakan pada 2 November ini di Komtar.

Mesyuarat yang dipengerusikannya itu akan membincangkan perkembangan siasatan, pelaksanaan kerja-kerja mitigasi serta tindakan susulan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Pihak pemaju dan perunding turut diminta mengemukakan laporan pemeriksaan keseluruhan tapak projek termasuk pemetaan kawasan cerun berisiko serta pelan mitigasi bagi memastikan keselamatan kawasan terbabit,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

The post Tanah runtuh Paya Terubong: Empat rumah dikenal pasti tidak selamat didiami appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved