‘Sisa tidak boleh dibuang di tepi jalan, sungai’

LocalEnvironment
24 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sisa tidak boleh dibuang di tepi jalan, sungai’

PONTIAN – Perbadanan Pe­ngurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor membuka empat kertas siasatan terhadap pemilik tanah yang dipercayai terlibat aktiviti pembuangan sisa binaan dari Si­ngapura di daerah ini.

Pengarah SWCorp Johor, Zai­nal Fitri Ahmad berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurut beliau, pemilik tanah tidak boleh menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat pembuangan sisa tanpa lesen di bawah Akta 672, sebaliknya semua sisa perlu dilupuskan di tapak pelupusan yang dilesenkan.

“Di bawah akta yang sama, sisa juga tidak boleh dibuang di tepi jalan, ke dalam sungai atau di tanah kosong.

“Jika didapati bersalah, pihak terlibat boleh dikenakan denda minimum RM10,000 hingga RM100,000, penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, SWCorp kini turut mengesan pemilik tanah lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kita sedang mengesan mana-mana lagi pemilik tanah yang terlibat supaya mereka juga boleh dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman,” katanya.

Image from: ‘Sisa tidak boleh dibuang di tepi jalan, sungai’
KERATAN muka depan Kosmo! 8 Ogos 2026.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan lokasi penerimaan sisa bahan binaan berkenaan selain menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan kesahihan maklumat mengenai syarikat terbabit.

Dalam perkembangan sama, katanya, tiada lagi pergerakan kenderaan termasuk lori treler yang membawa masuk sisa bahan binaan berkenaan ke Pontian selepas kegiatan itu dihentikan pada 18 Ogos lalu.

Katanya, penghantaran ber­kenaan dihentikan selepas Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura mengambil tindakan menghentikan pergerakan sisa tersebut.

Jelasnya, SWCorp akan terus memantau kawasan terbabit bagi memastikan kegiatan pembuangan sisa secara haram tidak berulang.

Pada 8 Ogos lalu, Kosmo! me­laporkan, konvoi treler yang membawa sisa binaan dari Singapura untuk dibuang di daerah ini sejak dua tahun lalu bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menyebabkan rumah penduduk retak selain mengundang kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, pada 14 Ogos lalu Kosmo! melaporkan, kerajaan negeri mengenal pasti sembilan syarikat yang dikesan mempu­nyai kaitan dengan aktiviti membawa masuk dan membuang sisa bahan binaan dari Singapura ke Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor sebelum ini berkata, maklumat berhubung syarikat terbabit diperoleh hasil siasatan awal pihak berkuasa. -KOSMO! ONLINE

The post ‘Sisa tidak boleh dibuang di tepi jalan, sungai’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved